Trauma diuji hingga hampir gila, Mawi lalui enam sesi perbincangan sebelum setuju sertai GVF

Iklan
Mawi pernah mencipta fenomena tersendiri dalam industri hiburan tanah air apabila diberikan pelbagai gelaran termasuk gelombang Tsumawi, Mawi World, Mawimania dan Raja SMS.

PENYANYI dan juruhebah radio Mawi mendedahkan beliau melalui kira-kira enam sesi perbincangan dengan penerbit sebelum bersetuju menyertai program realiti Gegar Vaganza Fantasia (GVF) akibat diselubungi kebimbangan ujian berat yang pernah dilaluinya berulang.

Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 45, berkata, fasa sukar yang membabitkan isu kesihatan dan penyakit misteri sebelum ini benar-benar menguji emosi, kesihatan serta perjalanan hidupnya sehingga menyebabkan beliau kurang menonjol dalam bidang nyanyian.

Iklan
Iklan

"Saya takut benda itu berulang sebab saya diuji teruk, saya hampir gila," katanya ketika ditemui Bernama.

Sebelum ini, media melaporkan juara Akademi Fantasia 3 (AF3) itu melalui pengalaman mistik dan penyakit misteri sehingga memaksanya berehat daripada industri seni selama beberapa tahun.

Iklan

Namun begitu, tawaran menyertai GVF yang menghimpunkan barisan juara-juara AF akhirnya membuka hatinya untuk kembali ke pentas persembahan.

"Saya lahir sebagai penyanyi menerusi AF3 pada 21 tahun lepas. Jadi, bila ada peluang bersempena dengan 30 tahun Astro ini, saya rasa ini masanya untuk meraikan dan mengenang jasa. Tambahan pula bila tengok barisan peserta semuanya juara AF, suasananya macam hari keluarga,” katanya.

Iklan

Mawi berkata, beliau juga tidak mahu mengecewakan penerbit, rakan-rakan serta peminat yang selama ini menantikan kemunculannya.

Ditanya tentang kemungkinan beliau mencipta"fenomena kedua” seperti ketika mula mencipta nama pada 2005, pelantun lagu Aduh Saliha itu berkata, fokus utamanya kini adalah menghiburkan penonton dan melihat sejauh mana persembahannya mendapat sambutan.

"Fenomena dulu pun terjadi dengan sendiri, bukan dirancang. Jadi, saya tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu, saya cuma mahu berseronok dan jadi diri sendiri,” katanya.

Mawi pernah mencipta fenomena tersendiri dalam industri hiburan tanah air apabila diberikan pelbagai gelaran termasuk gelombang Tsumawi, Mawi World, Mawimania dan Raja SMS.

Selain itu, penyanyi kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu pernah dijulang sebagai Bintang Paling Popular ABPBH tiga kali berturut-turut pada 2005, 2006 dan 2007. - Bernama