‘Sayang semuanya’ – Mesej terakhir imam sebelum lemas

Iklan
Norazila bersama dua anaknya tidak menyangka pesanan terakhir suaminya menerusi status WhatsApp mengenai pentingnya anak-anak bersatu hati dan saling menghormati, menjadi petanda pemergian arwah buat selama-lamanya.

PONTIAN - Seorang isteri tidak menyangka bahawa pesanan terakhir suaminya menerusi status WhatsApp mengenai pentingnya anak-anak bersatu hati dan saling menghormati menjadi petanda pemergian arwah buat selama-lamanya.

Allahyarham Mohd Al-Hafiz Md Yunos, 45, yang juga Imam Masjid Jamek Bandar Pontian, ditemui lemas selepas bot dinaikinya terbalik ketika memancing di Jeti Kampung Semaloi, Mersing, awal pagi Selasa.

Iklan
Iklan

Norazlila Othman, 46, berkata, catatan tersebut dimuat naik oleh suaminya pada 16 Mei lalu ketika mereka bersama dua anak pulang ke rumah keluarga di Temiang, Muar.

"Pesanan itu memang menyentuh hati saya, seolah-olah arwah sudah tahu dia akan pergi. Saya tidak menyangka itu adalah kata-kata terakhir yang akan saya terima daripadanya,” ujarnya sebak.

Iklan

Menurutnya, pesanan terakhir Allahyarham seakan-akan petanda bahawa pemergiannya sudah dekat.

"Alhamdulillah, bersemadi tali pusat anak-anak kami. Semoga kuat ukhuwah, bersatu hati serta saling menghormati dan menyayangi sesama adik-beradik. Setelah disimpan bertahun lamanya (tembuni), kiralah umur ‘korang’. Sayang semuanya,” katanya pada Selasa.

Iklan

Jelas Norazlila, memancing merupakan hobi arwah suaminya dan beliau kerap turun ke Mersing untuk melakukan aktiviti tersebut bersama rakan-rakan.

"Saya ada menerima panggilan telefon daripada anggota polis kira-kira jam 2 pagi yang memaklumkan kejadian menimpa suami ketika menaiki bot di Sungai Semaloi, Endau, Mersing.

"Sebelum itu, arwah ada menghantar WhatsApp pada jam 10 malam memaklumkan keberadaannya, dan sekitar jam 12 malam dia memaklumkan sudah tiba di lokasi memancing,” katanya.

Norazlila berkata, mereka dikurniakan lima anak iaitu tiga lelaki dan dua perempuan.

"Anak sulung berusia 23 tahun dan kini menuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sarawak.

"Anak kedua, perempuan, belajar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); anak ketiga di Kolej Vokasional Tanjung Piai; anak keempat di Sekolah Menengah Maahad Pontian; dan yang bongsu di Sekolah Kebangsaan Sungai Bunyi,” ujar Norazlila yang bertugas sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam di Pejabat Agama Pontian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Mohd Alias Hussin berkata, seramai 20 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), termasuk pasukan penyelam, terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat dengan kekuatan logistik merangkumi satu unit jentera FRT, satu unit Hilux, dua bot penyelamat, satu lori, satu EMRS dan dua unit RRV.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia dan mayatnya ditemui jam 12 tengah hari, kira-kira 100 meter dari lokasi dilaporkan terjatuh.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.25 pagi sebelum sepasukan anggota dari BBP Endau digerakkan ke lokasi kejadian sejauh lima kilometer.

"Setibanya di lokasi pada jam 2.30 pagi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati insiden melibatkan seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dari bot. Operasi pencarian terus digerakkan dengan teknik surface searching dalam radius lebih kurang 100 meter dari jeti.

"Bagaimanapun, atas faktor keselamatan dan keadaan gelap di permukaan sungai, operasi pencarian ditangguhkan sementara pada jam 3.30 pagi,” katanya.