JIM bongkar klinik haram 'Dr Maleeq', rawat warga asing tanpa tauliah

Iklan
JIM serbu klinik haram 'Doktor Maleeq' yang menawarkan perkhidmatan kesihatan murah kepada warga asing dengan menggunakan doktor tidak bertauliah.

PUTRAJAYA - Sindiket klinik haram 'Doktor Maleeq' yang menawarkan perkhidmatan kesihatan murah kepada warga asing dengan menggunakan doktor tidak bertauliah terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu tiga lokasi berasingan di Lembah Klang pada Isnin.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dijalankan sekitar jam 11.20 malam itu melibatkan serbuan di dua lokasi sekitar Selangor, iaitu di Sungai Buloh dan Shah Alam, serta satu lagi lokasi di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

"Tindakan itu dilakukan hasil risikan selama dua minggu oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya susulan maklumat awam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Zakaria berkata, dalam serbuan tersebut, seramai enam individu berusia antara 23 hingga 57 tahun telah ditahan.

Iklan

"Mereka terdiri daripada seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai doktor tidak bertauliah, tiga wanita warga Myanmar dipercayai pembantu klinik, seorang wanita warga Pakistan dan seorang wanita warga India," katanya.

Antara individu yang ditahan JIM dalam serbuan pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, hasil semakan awal mendapati lelaki warga Pakistan itu telah tinggal lebih masa di negara ini.

"Manakala seorang wanita warga Myanmar menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan seorang lagi wanita negara sama memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

"Warga asing lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini," katanya.

Menurutnya, pasukan operasi telah menyita buku log pesakit, cop klinik, satu pasport Pakistan, satu pasport India, satu pasport Myanmar, peralatan perubatan, resit sijil sakit, telefon bimbit klinik dan baju pengamal perubatan untuk tujuan siasatan.

"Klinik yang beroperasi selama setahun itu dipercayai menggunakan doktor tidak bertauliah untuk melakukan pemeriksaan kesihatan pada waktu malam sahaja.

"Bayaran yang dikenakan untuk setiap pesakit warganegara asing adalah sebanyak RM90 dan hanya boleh dilakukan secara dalam talian," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan di Depot Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Sementara itu, seorang lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Filipina telah diberi notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan," ujarnya.