100,000 akaun terjejas, LRA Sungai Johor dihenti operasi

Iklan
Kira-kira 100,000 akaun pengguna di Johor Bahru terjejas berikutan gangguan bekalan air susulan kerosakan luar jangka pada pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor. Foto FB Mohamad Fazli

JOHOR BAHRU - Kira-kira 100,000 akaun pengguna di sekitar daerah ini terjejas berikutan gangguan bekalan air susulan kerosakan luar jangka pada pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerosakan itu menyebabkan operasi LRA Sungai Johor terpaksa dihentikan sepenuhnya sejak petang Selasa.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, gangguan itu mengakibatkan 318 juta liter sehari (MLD) tidak dapat diagihkan kepada pengguna di kawasan terbabit.

"Sebagai langkah segera, pengolahan semula sumber air sedia ada telah dilaksanakan dan berjaya menyelamatkan kira-kira 11,000 akaun pengguna daripada terjejas.

Iklan

"Akaun-akaun ini dijangka terus menerima bekalan air seperti biasa menjelang jam 7 pagi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum itu, ratusan pengguna membanjiri ruangan komen media sosial syarikat penyedia dan pengendali perkhidmatan bekalan air negeri, Ranhill SAJ, susulan mendakwa gangguan bekalan air sejak Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata, kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan dan setakat ini mencapai 15 peratus kemajuan.

"Kerja pembaikan dijangka siap sepenuhnya pada jam 7 pagi. Selepas itu, proses pemulihan bekalan akan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan tekanan air kembali stabil dan disalurkan berperingkat ke kawasan terjejas," katanya.

Sebagai sokongan tambahan, katanya, sebanyak 16 lori tangki air berkapasiti 9 meter padu (m³) dan 40 m³ telah digerakkan ke lokasi-lokasi kritikal seperti hospital, pusat kesihatan serta kawasan tumpuan awam.

"Pihak kami amat kesal atas kesulitan yang berlaku dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua pengguna sepanjang tempoh gangguan ini.

"Segala usaha sedang diambil bagi mempercepatkan proses pemulihan sepenuhnya," katanya.