LUAS buka satu kertas siasatan premis ternak lembu berhampiran Sungai Langat

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Ahad lalu yang melaporkan penduduk Kampung Sungai Long, Hulu Langat menggesa kerajaan negeri segera menyelesaikan masalah pencemaran yang didakwa berlaku akibat operasi penternakan lembu di kawasan tanah rizab kerajaan sejak 2018. Gambar kecil: Jamaliah

SHAH ALAM – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah membuka satu kertas siasatan terhadap sebuah premis penternakan lembu di kawasan rizab kerajaan di Kampung Sungai Long berhampiran Sungai Langat, Hulu Langat.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, siasatan dijalankan susulan laporan penduduk yang mendakwa operasi itu menyebabkan pencemaran air sungai.

Iklan
Iklan

"LUAS telah menjalankan pemeriksaan pada 20 Mac lalu dan mengesahkan kewujudan aktiviti penternakan lembu di lokasi terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, walaupun tiada sisa dikesan mengalir ke sungai hasil penggunaan sistem ‘litar tertutup’ (closed circuit), siasatan tetap dibuka atas dua kesalahan.

Iklan

"Premis terbabit disiasat mengikut Seksyen 43(1) Enakmen LUAS 1999 kerana mengubah sumber tanpa kebenaran bertulis dan Seksyen 107(b) iaitu menggunakan air dari sumber tanpa kebenaran LUAS,” jelasnya.

Jamaliah menjelaskan, sampel air juga telah diambil pada 16 April lalu di kawasan yang dipercayai terjejas ketika hujan dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut.

Iklan

"Kertas siasatan kini sedang dilengkapkan untuk dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi cadangan kompaun," tambahnya.

Katanya, perkara ini turut diselaraskan bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

"Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan sumber air," tegas beliau.

Sinar Harian pada Ahad lalu melaporkan, penduduk Kampung Sungai Long, Hulu Langat menggesa kerajaan negeri segera menyelesaikan masalah pencemaran yang didakwa berlaku akibat operasi penternakan lembu di kawasan tanah rizab kerajaan sejak 2018.

Wakil penduduk, Razi Md, 30, mendakwa, kandang yang didirikan sekitar 200 meter dari penempatan penduduk menyebabkan mereka terpaksa menghidu bau busuk melampau akibat sisa najis lembu yang tidak diuruskan dengan baik hingga menyebabkan kehadiran lalat.