LANGKAWI – Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) bermula dengan penuh gilang-gemilang apabila Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan menerbangkan sendiri pesawat pejuang sebagai acara pembukaan rasmi pertunjukan udara.
Lebih istimewa, pesawat yang digunakan dalam penerbangan ini, Su-30MKM (M52-16) memperagakan 'livery' ikonik kebanggaan negara iaitu Bendera Malaysia dan dikenali sebagai 'Toruk Makto'.
Mohd Asghar Khan mencipta sejarah sepanjang penganjuran edisi LIMA apabila buat pertama kali, Panglima Tentera Udara sendiri mengambil alih kokpit dalam pertunjukan udara.
Dengan aksi yang memukau, pesawat itu berjaya mencuri perhatian ribuan hadirin yang membanjiri ruang udara Langkawi pada Selasa.
Penerbangan selama 12 minit itu bukan sekadar satu persembahan udara biasa tetapi satu simbol keberanian dan profesionalisme tinggi dalam kalangan kepimpinan tertinggi TUDM.
Turut bersama dalam penerbangan bersejarah ini ialah Kolonel Mohd Norazan Othman, yang berkhidmat sebagai Komander Pangkalan Udara Gong Kedak.
Kedua-duanya menunjukkan kecekapan luar biasa dalam mengendalikan pesawat, membuktikan kepakaran juruterbang TUDM setanding dengan pasukan udara antarabangsa.
Pasukan lain yang turut terlibat dalam pertunjukkan udara sepanjang LIMA’25 adalah Russian Knight dari Tentera Udara Russia, Jupiter dari Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU), Pesawat GB 1 dari Akademi Penerbangan Layang-layang, Extra 300L dari Aerotree Dences and Services.
Sebuah lagi pesawat TUDM yang turut terlibat adalah pesawat F/A-18D Hornet.