Bola sepak sekarang bukan macam zaman saya atau Santokh dulu - Jamal Nasir

Iklan
Cape Verde dan Vietnam dijangka menghadirkan gaya tentangan berbeza buat Harimau Malaya. Foto Facebook Malaysia NT (Gambar kecil: Jamal Nasir)

RUANG dan sokongan sepenuhnya perlu diberikan kepada projek revolusi Harimau Malaya yang sedang digerakkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail untuk memastikan skuad negara berada pada tahap yang lebih baik.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, semua pihak perlu lebih rasional dengan sebarang pendekatan yang digunakan skuad Harimau Malaya ketika ini terutama menggunakan kepakaran luar dan ramai pemain warisan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, era bola sepak moden ketika ini sudah berubah berbanding zaman dahulu dan revolusi yang lebih berbeza perlu dilakukan supaya pasukan kebangsaan mampu bersaing dengan pasukan lain.

"Kita kena buat satu revolusi di luar kotak sekarang. Kita tahu kalau hanya bergantung kepada pemain tempatan, dalam era sekarang dengan Indonesia, Thailand dan Filipina yang sudah banyak menggunakan pemain naturalisasi dan warisan, kita akan ketinggalan jauh.

Iklan

"Untuk kita menyamai mereka ke peringkat Asia, kita juga kena melakukan perkara yang sama. Sebab itu saya sentiasa cakap, revolusi baru nak bermula janganlah kita terus kritik, tak adil lah macam tu,” katanya kepada Sukan Sinar.

Sebelum ini, legenda Harimau Malaya, Datuk Santokh Singh menyuarakan rasa kurang senang terhadap pendekatan yang digunakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang melantik ramai tenaga kepakaran dari luar sehingga seolah-olah mengenepikan bakat tempatan.

Iklan

Beliau juga mengkritik pengambilan ramai pemain warisan dalam skuad Harimau Malaya yang dilihat sebagai langkah mengejar kejayaan segera.

Perkara tersebut lantas mengundang respon segera daripada Tunku Mahkota Ismail yang mahu semua pihak mengubah mentaliti untuk membangunkan bola sepak negara.

Dalam pada itu, Jamal melihat suasana bola sepak hari ini sudah jauh berbeza berbanding era kegemilangannya bersama legenda lain seperti Santokh dan pendekatan berbeza perlu diterima sekiranya Malaysia mahu terus bersaing di pentas Asia.

Beliau turut percaya, perancangan dilakukan oleh Tunku Mahkota Ismail merupakan perancangan jangka pendek dan sudah tentu baginda juga ada perancangan jangka panjang untuk pakar dan pemain tempatan.

"Kita nak belajar dan lihat sama ada kepakaran luar ini boleh bagi kita hasil yang lebih baik atau tidak.

"Sebelum ini, kita dah cuba dengan kepakaran tempatan dan pemain tempatan, tetapi kurang berjaya.

"Sekarang ini, bukan seperti zaman masa saya dulu dan Santokh. Sekarang industri bola sepak ini dah berbeza. Kita kena terima hakikat. Dalam masa lima tahun ini beri ruang kepada revolusi ini,” katanya.