Antara teh, tular dan tanggungjawab

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai kenyataan Kor Ming yang sedia disiasat berhubung isu MyKiosk.

KENYATAAN terbuka Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung kesediaan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi projek MyKiosk mengundang pelbagai tafsiran.

Beliau mendakwa projek MyKiosk sengaja dipolitikkan oleh pihak tertentu untuk memporak-perandakan Kerajaan Madani.

Iklan
Iklan

Bagaimana pun, apa yang lebih mencuri perhatian ialah ajakan beliau kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk ‘minum teh’, satu ungkapan santai di tengah isu serius.

Dalam era digital, setiap kenyataan pemimpin akan dinilai bukan hanya berdasarkan niat, tetapi juga persepsi yang terhasil daripada gaya penyampaian.

Iklan

Media sosial kini menjadi medan utama rakyat menilai tindakan dan kata-kata pemimpin politik secara terbuka dan pantas.

Dalam kes ini, ramai pengguna internet mempersoalkan sama ada ajakan tersebut wajar dilontarkan ketika wujud desakan siasatan terhadap projek kementerian sendiri.

Iklan

Sebahagian menganggap ia sekadar jenaka politik, namun tidak kurang juga melihatnya sebagai cubaan menormalisasi situasi yang sepatutnya dipandang serius.

Realitinya, rakyat hari ini lebih kritikal terhadap pemimpin, apatah lagi apabila melibatkan integriti dan tadbir urus.

Persepsi awam tidak hanya dibentuk oleh fakta semata-mata, tetapi juga oleh nada, bahasa tubuh dan pilihan kata dalam komunikasi.

Media pula memainkan peranan penting dalam membingkai naratif sama ada sebagai pelaporan neutral atau berperanan memperkuat suara rakyat.

Dalam konteks ini, adalah penting untuk pemimpin mengutamakan komunikasi berhemah dan profesional, terutama ketika melibatkan institusi bebas seperti SPRM.

Kerajaan harus mengambil serius sensitiviti awam terhadap isu integriti dan mengelakkan sebarang bentuk komunikasi yang boleh mengundang salah tafsir.

Persepsi awam bukan hanya soal pandangan, tetapi cerminan keyakinan rakyat terhadap kejujuran dan ketelusan pemimpin negara.