MANILA – Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr menyatakan kesediaan beliau untuk memulihkan hubungan bersama keluarga Naib Presiden, Sara Duterte.
Marcos Jr menzahirkan hasrat untuk berdamai setelah calon disokong Sara memenangi empat daripada 12 kerusi daripada jangkaan awal ketika Pilihan Raya Senat pada minggu lalu.
"Saya mahu bergaul dengan semua orang. Saya perlukan rakan dan bukannya musuh. Seboleh-bolehnya saya mahukan keamanan dan kestabilan supaya dapat menjalankan tanggungjawab dengan lancar.
"Ayuh kita bekerjasama meskipun tidak sependapat tentang dasar kerajaan," katanya menerusi wawancara yang disiarkan di Facebook pada Isnin.
Difahamkan, ia bukanlah pertama kali Marcos Jr menggunakan 'nada mesra' dengan Sara berikutan beliau sebelum ini pernah menggelar sengketa yang tercetus antara mereka sebagai 'ribut dalam cawan' merujuk kepada hal kecil yang sengaja diperbesarkan.
Kedua-dua pemimpin berpengaruh itu pernah bergandingan semasa Pilihan Raya Umum pada 2022, namun hubungan mereka menjadi keruh dek perbezaan politik hingga mendorong Sara untuk berundur daripada Kabinet pada 2024.
Pada Februari lalu, sekutu Marcos Jr di Dewan Perwakilan turut menyokong usul pemecatan anak bekas Presiden Rodrigo Duterte itu berhubung ancaman bunuh dibuat beliau ke atas Presiden dan dakwaan menyalahgunakan dana awam.
Kira-kira sebulan selepas itu, pentadbiran Marcos Jr turut membenarkan penahanan Duterte di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Belanda di mana beliau sedang menanti perbicaraan berhubung tuduhan melakukan jenayah kemanusiaan di bawah perang dadah dilancarkan pentadbirannya.
Sebelum ini, Sara dengan tegas menyatakan hubungan mereka tidak akan dapat dipulihkan walaupun Marcos Jr dikatakan tidak mahu dikaitkan dengan kes pemecatan beliau yang dijadualkan pada Julai depan. - Agensi