Pelan induk PKFZ 2.0 sasar wujudkan zon bebas pintar

Iklan
Priscilla (empat dari kiri) dan Lip Eng (lima dari kiri) dalam Majlis Pra-Sambutan Ulang Tahun Ke-20 PKFZ di sini, pada Selasa.

PELABUHAN KLANG - Zon bebas perdagangan dan perindustrian bersepadu utama Malaysia, Port Klang Free Zone (PKFZ) melancarkan pelan induk PKFZ 2.0 sebagai visi baharu untuk mewujudkan zon bebas pintar yang bersedia untuk masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKFZ, Priscilla Lim berkata, pelan transformasi itu bertujuan meletakkan organisasi tersebut sebagai ekosistem logistik dan perindustrian generasi baharu yang menggabungkan kelestarian, teknologi dan perkhidmatan berteraskan pelabur.

Iklan
Iklan

"Antara inisiatif utama di bawah pelan induk tersebut termasuk inovasi hab industri yang menumpukan terhadap pengawasan keselamatan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan peningkatan kecekapan perniagaan.

"Selain itu, memberi tumpuan terhadap pembangunan hijau selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta pendigitalan menyeluruh perkhidmatan pelabur dan fasiliti perdagangan.

Iklan

"Pelan induk kami menyasarkan peningkatan unit bersamaan 20 kaki (TEU) untuk perniagaan eksport, tetapi kami juga menyokong perniagaan domestik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pra-Sambutan Ulang Tahun Ke-20 PKFZ di sini, pada Selasa.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi PKFZ, Lim Lip Eng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri; Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang, K Subramaniam serta tetamu kehormat lain.

Mengulas lanjut, Priscilla berkata, pihaknya turut menetapkan sasaran jangka pendek dalam tempoh satu hingga dua tahun untuk memperkukuh asas dan meningkatkan kadar penghunian.

"Seterusnya, kami akan menambah perkhidmatan yang bukan sekadar menyediakan gudang tetapi pelbagai kemudahan lain dalam jangka panjang sekitar 10 tahun akan datang.

"Pelan induk ini telah pun bermula secara berperingkat. Fasa pertama sedang berjalan dengan fokus terhadap infrastruktur asas dan penggunaan teknologi AI seperti sistem keselamatan pintar,” ujarnya.