KUALA LUMPUR – Keputusan kes seorang anak yang mengaku membunuh ibu bapanya di Kampung Sungai Penchala, akan diputuskan Mahkamah Tinggi di sini, pada Jumaat.
Hakim, K Muniandy menangguhkan keputusan yang dijadualkan pada Selasa itu, selepas pihak pendakwaan memberitahu, terdapat beberapa barang kes membabitkan tertuduh, Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali, 44, belum dikemukakan kepada mahkamah.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah, berkata, antara barang kes itu ialah pisau.
Pada 30 April lalu, mahkamah diberitahu bahawa tertuduh berada dalam keadaan waras ketika melakukan kesalahan itu.
Pihak pendakwaan memaklumkan, ia berdasarkan laporan perubatan psikiatri daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta, Ipoh bertarikh 7 Februari lalu.
Izalina berkata, tertuduh tidak menghidap penyakit mental pada ketika ini, termasuk semasa kejadian, 9 Disember 2023 lalu.
Pada 27 November 2024, Hakim ini memerintahkan Afendi menjalani pemeriksaan mental di hospital itu bagi memastikan pengakuan bersalah yang dibuat pada 6 September tahun sama adalah dalam keadaan waras serta sukarela.
Pada 6 September tahun lalu, biarpun mengetahui bakal berdepan hukuman gantung atau penjara sehingga 40 tahun, Afendi yang juga penganggur, mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas dua pertuduhan membunuh ibu bapanya dalam satu pertengkaran di Kampung Sungai Penchala.
Mengikut dua pertuduhan itu, dia didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas pesara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Muhammad Agus @ Muhamed Ali Omar, 82, dan suri rumah, Darlisma Njatu Saleh, 72.
Kesalahan didakwa dilakukan di rumah mangsa, di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir, di sini, pada jam 7.10 dan 7.20 malam, 9 Disember 2023.
Dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.