Nahas FRU: Khidmat kaunseling kepada waris mangsa diteruskan selagi diperlukan

Iklan
Noraini (duduk, tengah) menyampaikan sumbangan kepada seorang waris mangsa nahas, Noor Hasliza ketika program Ziarah Kasih Menyantuni Waris Anggota FRU di Bandar Baru Putra, Bercham, Ipoh pada Selasa.

IPOH – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada anggota dan waris Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam nahas tragis minggu lalu selagi bantuan tersebut diperlukan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kaunselor JKM telah menghubungi serta menemui ahli keluarga mangsa sejurus selepas tragedi itu berlaku.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sesi kaunseling masih diteruskan kepada waris dan ahli keluarga mangsa yang terlibat sehingga kini.

"Kaunseling memang kita ada sediakan dan pegawai kaunselor pun maklumkan kepada saya bahawa mereka telah menghubungi keluarga mangsa.

Iklan

"Saya ingin menyeru mana-mana waris yang memerlukan perkhidmatan ini supaya tampil jumpa kami atau hubungi kami dan kami akan datang ke rumah untuk membantu mereka,” katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Kasih Menyantuni Waris Anggota FRU di Bandar Baru Putra, Bercham di sini pada Selasa.

Noraini berkata, terdapat dua saluran kaunseling disediakan ketika ini iaitu melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JKM sendiri.

Iklan

"Bagi kaunseling di bawah JKM, ia akan dilaksanakan secara berterusan, bukan hanya untuk sehari dua, tetapi selagi mana waris atau mangsa memerlukan," ujarnya.

Beliau berkata, sesi kaunseling bukan hanya ditawarkan kepada balu, malah melibatkan anak-anak, ibu bapa dan pasangan mangsa memandangkan ada dalam kalangan mereka berdepan trauma akibat kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Yayasan Kebajikan Negara turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM1,000 kepada waris, selain bantuan segera yang telah diberikan oleh JKM sebelum ini.

"Bagi keluarga yang kehilangan punca pendapatan kerana isteri tidak bekerja, JKM akan menjalankan siasatan lanjut berhubung keperluan mereka.

"Di peringkat negeri pula kita juga akan rujuk kepada baitulmal atau agensi lain jika mereka layak untuk menerima bantuan,” katanya.

Tambahnya, semua keluarga telah dihubungi dan disantuni oleh pegawai-pegawai JKM bagi memastikan segala bentuk bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi pada 13 Mei lalu, trak FRU yang membawa seramai 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam dan sedang menuju ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil.

Lapan anggota maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan sementara lapan anggota pula mengalami kecederaan dan dirawat di hospital sama.