KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan supaya merancang perjalanan lebih awal sepanjang tempoh Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung bermula Jumaat ini hingga 28 Mei bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas terutama di sekitar ibu negara.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, beberapa laluan akan ditutup secara berperingkat bagi memberi laluan kepada pergerakan delegasi yang hadir ke sidang berkenaan.
"Langkah awal yang diambil adalah membuat hebahan melalui media dan platform media sosial supaya orang ramai peka dengan penutupan jalan yang dijalankan.
"Maklumat terkini mengenai penutupan laluan boleh diperoleh di laman Facebook JSPT selain menghubungi bilik gerakan trafik di Pejabat Trafik Jalan Bandar atau Bukit Aman untuk maklumat lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, orang ramai turut disarankan agar menyusun semula program dan aktiviti yang dijadualkan sepanjang tempoh berkenaan.
"Langkah ini bagi mengelakkan sebarang program yang dijalankan sepanjang tempoh berkenaan terganggu.
"Perancangan awal amat penting, kami juga telah menjalankan sesi latihan ‘dry run’ bermula hari ini bagi memastikan segala-galanya berjalan lancar, sekiranya ada keperluan, penambahbaikan akan dibuat segera," katanya.
Beliau berkata, penutupan jalan akan dikawal rapi oleh anggota trafik yang ditempatkan di persimpangan utama serta sepanjang laluan yang terlibat termasuk lebuh raya utama di sekitar ibu negara.
"Pegawai dan anggota trafik bertugas akan membuat rondaan dan pemantauan bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang tempoh tersebut.
"Sebarang perubahan atau info terkini akan dikemas kini dari masa ke masa melalui saluran rasmi kami termasuk Facebook dan TikTok," katanya.
Beliau turut mengingatkan agar pengguna jalan raya sentiasa merujuk maklumat sahih dan tidak terpengaruh dengan maklumat mengelirukan yang tular di media sosial.
"Kami dapati masih ada sedikit kekeliruan dalam kalangan netizen menerusi ruangan komen di media sosial.
"Jadi adalah penting untuk orang ramai merujuk terus kepada saluran rasmi kami atau menghubungi pihak trafik Kuala Lumpur untuk bantuan,” katanya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan sebanyak 789 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan bagi memastikan kelancaran trafik sempena Sidang Kemuncak ASEAN di ibu negara.
Mohd Yusri berkata, penugasan itu merangkumi 292 pegawai dan anggota daripada kontinjen Kuala Lumpur manakala 497 lagi daripada kontinjen lain di seluruh negara.
Ujar beliau, aset yang akan terlibat dalam penugasan ini termasuk 36 unit kereta peronda (MPV), 313 motosikal berkuasa tinggi dan 190 motosikal lain serta kembalik (lori tunda) yang akan digunakan untuk menunda kenderaan menghalang laluan.
Mohd Yusri berkata, pada 21 dan 22 Mei, raptai penugasan kawalan trafik akan dilaksanakan membabitkan elemen kawalan konvoi (motoked), kawalan laluan, kawalan lokasi dan penugasan lain.
Tambah beliau, raptai di lokasi sebenar ini akan memberikan makluman awal kepada pengguna jalan raya mengenai penutupan jalan yang akan dilakukan.
Media sebelum ini melaporkan enam lebuh raya dan 25 jalan utama sekitar Lembah Klang akan ditutup secara berperingkat bermula Jumaat hingga 28 Mei ini bagi memastikan kelancaran trafik.
Jalan yang ditutup termasuk laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) Istana Negara, laluan ke hotel penginapan dan beberapa lokasi jalan utama lain.