Brighton kejutkan juara EPL, Liverpool

Iklan
Hinshelwood wira Seagulls apabila menanduk masuk gol kemenangan Brighton. Foto Agensi

LIVERPOOL juara baharu Liga Perdana Inggeris, sekali lagi gagal mengekalkan kelebihan apabila tewas mengejut 2-3 kepada Brighton dalam satu perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) penuh dramatik di Stadium Amex, pada Selasa.

Kekalahan itu bukan sahaja mengheret The Reds di bawah pimpinan Arne Slot ke dalam rentetan keputusan hambar selepas menjuarai liga, malah menghidupkan semula impian tipis Brighton untuk layak ke pentas Eropah musim depan.

Iklan
Iklan

Pemain gantian, Jack Hinshelwood, menjadi wira The Seagulls apabila menanduk masuk gol kemenangan hasil hantaran silang Matt O'Riley pada minit ke-85 — gol yang disahkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) membatalkan keputusan ofsaid asal.

Liverpool mendahului dua kali, hasil jaringan Harvey Elliott dan Dominik Szoboszlai, namun Brighton bangkit menerusi gol Yasin Ayari, Kaoru Mitoma, dan akhirnya disudahi Hinshelwood untuk memastikan tiga mata kekal di pantai selatan England sekali gus meletakkan tuan rumah di tangga kelapan liga, tiga mata mengatasi Brentford.

Iklan

Perlawanan sebelum itu berlangsung rancak dengan Liverpool membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan menerusi Elliott, hasil kerja keras Conor Bradley.

Namun, Ayari menyamakan kedudukan dengan rembatan rendah yang menewaskan Alisson Becker.

Iklan

Szoboszlai kembali meletakkan Liverpool di depan menerusi satu gol yang dianggap ‘bernasib baik’ apabila cubaan hantaran lintangnya dari sudut kanan terus melambung masuk ke gawang selepas gagal dibaca penjaga gol Brighton, Bart Verbruggen.

Namun, selepas rehat, Brighton lebih menguasai permainan. Mitoma menyamakan kedudukan 2-2 hanya lima minit selepas dimasukkan, menunjukkan kawalan bola dan penyudah yang berkualiti tinggi.

Gol kemenangan pula hadir 78 saat selepas Hinshelwood diperkenalkan — menjadikan beliau penjaring keempat terpantas oleh pemain gantian musim ini.

Lebih manis, beliau masuk bersama sepupunya yang berusia 17 tahun, Henry Howell, kini menjadi pemain termuda dalam sejarah Brighton.

"Perlawanan bola sepak yang hebat untuk disaksikan semua. Dua pasukan yang ingin bermain dan inginkan kemenangan. Tiada masa dibazirkan, tiada tumbang-menumbang. Sungguh seronok untuk ditonton tetapi malangnya bukan keputusan yang kami inginkan dalam perlawanan ini," kata Slot.

Liverpool yang telah menjulang kejuaraan dengan baki empat perlawanan masih berbaki, kini mencipta rekod negatif sebagai pasukan pertama era EPL yang gagal memenangi tiga perlawanan berturut-turut selepas mengesahkan kejuaraan.

Dalam usaha memberi minit permainan kepada pemain simpanan, Slot menyenaraikan bekas pemain Juventus, Federico Chiesa, dalam kesebelasan utama buat pertama kali sejak menyertai kelab dengan nilai 10 juta pound.

Sementara itu, Virgil van Dijk direhatkan, manakala Mohamed Salah, dalam penampilan ke-400 bersama kelab, diberi penghormatan sebagai kapten buat pertama kali dalam aksi liga.

Salah, yang kini memerlukan hanya satu gol atau bantuan jaringan untuk menyamai rekod 47 sumbangan gol dalam satu musim EPL era moden milik Alan Shearer dan Andrew Cole, hampir mencatat nama sebagai penjaring ketika kedudukan 2-1, namun percubaannya dari jarak lapan ela tersasar — kesilapan yang akhirnya menjadi titik tolak kebangkitan Brighton.

Slot turut mengekalkan Trent Alexander-Arnold di bangku simpanan bagi mengelakkan insiden ejekan penyokong seperti yang berlaku dalam aksi menentang Arsenal baru-baru ini, membuka ruang kepada Bradley membuktikan kemampuannya menjelang perpindahan Alexander-Arnold ke Real Madrid musim panas ini.