'Abah sudah tiada, kami masih terkejut' – Anak jemaah haji meninggal dunia di Makkah

Iklan
Gambar kenangan Allahyarham Abdullah bersama isteri dan anak-anaknya.

PASIR MAS -"Abah sudah tiada, sehingga sekarang kami masih terkejut. Abah tidak mempunyai sebarang penyakit, sebagai doktor kesihatannya saya sentiasa pantau."

Demikian luahan Dr Anis Nabihah Abdullah, 26, anak kepada Allahyarham Abdullah Mat, 59, yang meninggal dunia di Tanah Suci Makkah akibat serangan jantung pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurut Anis Nabihah, berita pemergian ayahnya diterima sekitar jam 12 tengah hari ketika dia sedang berehat.

"Mama telefon dan beritahu abah sudah tiada. Saya tanya balik, abah ke mana? Mama cakap abah sudah meninggal. Kami tidak sangka masanya sudah tiba dan sehingga sekarang masih terkejut kerana abah pergi dalam keadaan sihat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Landar, Slow Machang, di sini pada Selasa.

Iklan

Anis, anak kedua daripada empat beradik memaklumkan bahawa selepas menerima berita tersebut, dia terus menghubungi nombor telefon ayahnya dan panggilan itu dijawab oleh rakan jemaah yang bersama arwah di hospital.

Menurut jemaah terbabit, arwah rebah semasa melakukan tawaf pada pusingan kelima di hadapan Kaabah.

Iklan

"Kebetulan di lokasi kejadian terdapat dua orang doktor dari Pakistan dan India yang memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) serta memeriksa nadi sebelum abah dibawa ke hospital,” jelasnya.

Tambah Anis lagi, mereka empat beradik yang berusia antara 19 hingga 28 tahun masih dalam keadaan terkejut dengan kehilangan mendadak tersebut.

Katanya, kedua-dua ibu bapanya sepatutnya menunaikan ibadah haji pada tahun 2027, namun selepas membuat rayuan, mereka terpilih menunaikan Rukun Islam kelima itu lebih awal tahun ini.

Allahyarham Abdullah merupakan kakitangan di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kelantan, manakala isterinya, Sarifah Hassan adalah seorang guru.

Sebelum ini, Sinar Harian Online melaporkan seorang jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci pagi Isnin akibat serangan jantung.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, jemaah tersebut yang dikenali sebagai Abdullah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Jiwar, Jabal Omar, Makkah.

Allahyarham adalah jemaah dari Maktab 89A dan menginap di Abraj al Janadriyah.