TANJUNG MALIM - Seorang pemandu treler maut dalam nahas yang melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 366, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini pada Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintenden Suhaimi Mohamad berkata, laporan mengenai kemalangan maut itu diterima pada jam 10.30 malam.
Menurut beliau, insiden itu melibatkan sebuah treler yang membawa muatan batu kapur, sebuah low loader dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
"Berdasarkan laporan awal, lelaki yang memandu treler dari arah Simpang Pulai disahkan meninggal dunia.
"Usaha untuk mengeluarkan mayat mangsa sedang dilakukan oleh pasukan penyelamat," katanya ketika dihubungi di sini.
Menurut Suhaimi, terdapat empat lagi mangsa yang cedera dan sedang menerima rawatan awal di lokasi kejadian.
Tambah beliau, punca kemalangan masih dalam siasatan.
Sementara itu, PLUS Malaysia melalui akaun Facebooknya memaklumkan bahawa kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih 16 kilometer yang melibatkan laluan dari Sungkai menuju Slim River.
"Status terkini, lorong kanan telah dibuka manakala lorong kecemasan dan lorong kiri masih terhalang setakat jam 11.47 malam.
"Sila gunakan laluan alternatif dan keluar di plaza tol berhampiran," katanya.