Ujian sebenar parti adalah ketika berkuasa

Iklan
PKR kini dilanda gelora menjelang pemilihan jawatan Timbalan Presiden. Foto hiasan

KETIKA berada di blok pembangkang, parti politik selalunya dilihat lebih idealis, bersih dan bersatu. Namun, ujian sebenar sesebuah parti itu bukan ketika menjadi pembangkang, tetapi sewaktu mereka bertukar status menjadi parti kerajaan dan mengurus kuasa.

Kuasa itu manis dan tidak semua mampu menolaknya. Lalu, pertembungan untuk merebut jawatan dalam parti mula menjadi lebih sengit kerana kebanyakannya bukan lagi semata-mata untuk perjuangan, tetapi demi pengaruh dan kedudukan.

Iklan
Iklan

Fenomena ini tidak asing dalam politik Malaysia. Parti-parti yang selama ini sudah berpuluh tahun menjadi pembangkang seperti Pas, PKR dan DAP sudah merasai dan pernah melaluinya.

Terbaharu, PKR pula dilanda gelora menjelang pemilihan jawatan Timbalan Presiden.

Iklan

Suasana pemilihan jawatan nombor dua parti kali ini semakin hangat dan penuh drama. Dua nama besar parti reformasi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar dilihat bakal berentap dalam satu pertembungan yang bukan sahaja menguji kekuatan pengaruh, malah kesetiaan akar umbi parti.

Pemilihan dalam PKR sering berlangsung dengan suasana yang panas walaupun ketika parti ini masih di blok pembangkang, walaupun sudah jadi kerajaan tetapi ia masih berbahang.

Iklan

Kedua-dua tokoh datang dengan kredibiliti dan legasi tersendiri. Rafizi sebagai arkitek strategi PRU14 dan Nurul Izzah sebagai ikon reformasi generasi baharu.

Namun yang lebih ketara, penyokong dan cybertrooper kedua-dua kem kini saling menyerang, malah ada yang tanpa segan membuka pekung sesama sendiri.

Fitnah, sindiran dan pendedahan dalaman mula tersebar di media sosial, menandakan betapa sengitnya perebutan kali ini. Walaupun ia boleh dianggap sebahagian daripada proses demokrasi dalam parti, suasana ini cukup janggal dan mengejutkan bagi sebuah parti yang selama ini menampilkan imej idealisme serta perpaduan.

Soalnya, mampukah PKR keluar dari pertempuran ini dalam keadaan lebih kuat? Atau adakah ini permulaan kepada retak yang bakal menanti belah?

Ujian kuasa bukan sekadar soal memerintah negara, tetapi bagaimana parti kekal utuh bila sudah merasa empuknya kerusi kerajaan. Sayangnya, banyak yang tewas sebelum pun tamat tempoh sepenggal.