SIDOARJO - Seorang tukang urut dari Kampung Ploso, Daerah Krembung, Sidoarjo, Jawa Timur, berjaya menunaikan impian menunaikan ibadah haji selepas menabung selama 13 tahun, lapor Jakarta Globe.
Umi Sulkha, membuktikan bahawa pekerjaan sederhana bukan halangan untuk merealisasikan cita-cita besar seperti menunaikan rukun Islam kelima itu.
Sejak tahun 2012, Umi mula menabung antara 20,000 hingga 30,000 rupiah sehari (RM6 hingga RM9) hasil pendapatan sebagai tukang urut bergerak.
Kos rasmi haji yang ditetapkan Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia mencecah 89.7 juta rupiah seorang (RM27,400).
Umi mula bekerja sebagai tukang urut sejak tahun 2000, demi menyara dua anaknya selepas suaminya meninggal dunia.
Walaupun pendapatan harian tidak menentu, kadang-kadang beliau memperoleh 50,000 rupiah (RM15).
Ada ketikanya, dia tidak mempunyai pelanggan langsung, namun tetap konsisten menyimpan sebahagian pendapatan dalam tabung khas di rumah.
Kebanyakan pelanggannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.
Umi hanya menggunakan teknik urutan tradisional dan peralatan asas, namun ramai pelanggan menyatakan lega daripada kesakitan selepas sesi rawatan tersebut.
Walau bagaimanapun, Umi juga tidak pernah menetapkan harga, sebaliknya menerima apa sahaja bayaran yang diberikan pelanggan.
"Saya sudah lama jadi pelanggan Bu Umi. Kalau penat urus lalu lintas, saya datang ke sini. Bayar ikut kemampuan. Dia tak pernah letak harga,” kata Munis Tamaroh, seorang pengawal lalu lintas sukarelawan.
Umi berlepas ke Tanah Suci bersama kumpulan 57 melalui lokasi rasmi jemaah haji berkumpul di Surabaya ke Madinah pada Isnin lalu.
"Saya daftar haji tahun 2012. Saya percaya dengan sabar dan usaha, ALLAH pasti makbulkan doa. Alhamdulillah, 2025 saya akhirnya dapat pergi,” katanya.
Bagi Umi, ibadah ini bukan sekadar perjalanan rohani, tetapi juga satu perjuangan menentang stigma masyarakat terhadap profesion tukang urut.
"Saya mahu buktikan bahawa tukang urut juga ada maruah, kami juga mampu laksanakan ibadah haji. Kami bekerja dengan jujur dan bantu orang sihat,” katanya penuh semangat. - Agensi