Dakwa isteri tolak hubungan intim, lelaki rogol adik kandung hingga hamil

Iklan
Suspek dipercayai menggunakan pujukan, paksaan dan ugutan terhadap mangsa yang cuba menolak perbuatannya. Gambar hiasan: Agensi

JAKARTA – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan polis selepas disyaki merogol adik kandungnya yang berusia 15 tahun sehingga mangsa hamil dan melahirkan seorang bayi di Kabupaten Lebong, Indonesia.

Kes tersebut terbongkar selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) menunjukkan padanan 99.99 peratus antara suspek dengan sampel yang diperiksa pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Menurut laporan media tempatan, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Lebong, AKP Darmawel Saleh berkata, suspek yang sudah berkahwin dipercayai melakukan perbuatan itu selepas mendakwa isterinya menolak ajakan untuk melakukan hubungan intim.

Siasatan mendapati suspek disyaki merogol mangsa sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga hari berturut-turut pada Januari lalu.

Iklan

Menurut Darmawel, suspek dipercayai menggunakan pujukan, paksaan dan ugutan terhadap mangsa yang cuba menolak perbuatannya.

Kejadian tersebut menyebabkan mangsa hamil sebelum melahirkan seorang bayi pada 23 September lalu.

Iklan

Kes berkenaan pada awalnya disiasat dengan mengaitkan seorang lelaki lain, namun keputusan ujian DNA yang diterima pada 5 Oktober tidak menunjukkan padanan.

Polis kemudian menjalankan siasatan lanjut sebelum mangsa mendedahkan kemungkinan penglibatan abang kandungnya dalam keterangan yang diberikan pada 8 Oktober.

Susulan itu, sampel tambahan dihantar ke Makmal Forensik Polis Sumatera Selatan pada 9 Oktober untuk pemeriksaan lanjut.

Keputusan yang diterima pada 26 Oktober menunjukkan padanan DNA, sekali gus membantu polis mengenal pasti suspek.

“Kami kemudian menahan suspek dan menetapkannya sebagai individu yang disyaki terbabit untuk siasatan lanjut,” kata Darmawel.

Suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Lebong dan berdepan tindakan undang-undang yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 12 tahun jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Polis Bengkulu mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan identiti, gambar atau maklumat peribadi mangsa bagi melindungi privasi serta kebajikannya.

Mangsa turut menerima bantuan dan pendamping sepanjang pemeriksaan kesihatan serta proses kelahiran. - Agensi