MUZAFFARABAD - Komuniti yang menetap di sepanjang sempadan de facto, Garis Kawalan (LoC) yang memisahkan India dan Pakistan terpaksa hidup di atas garis halus antara keamanan yang rapuh dan konflik terbuka.
Serangan ganas ke atas lokasi pelancongan Pahalgam telah mencetuskan konfrontasi ketenteraan terbaharu pada awal bulan lalu.
Bandar-bandar sempadan kembali dihujani peluru hingga meragut puluhan nyawa orang awam.
"Komuniti di LoC terus menjadi mangsa pertelingkahan New Delhi dan Islamabad. Setiap kali pertempuran berlaku, mereka akan berlindung di bunker, terpaksa menanggung kerugian harta benda termasuk haiwan ternakan dan rumah yang musnah,” kata penulis Pakistan berpusat di Kanada, Anam Zakaria.
India dan Pakistan berkongsi salah satu 'sempadan paling bahaya di dunia' sepanjang 3,323 kilometer (km) termasuk 740km zon LoC dan Sempadan Antarabangsa (IB) menjangkau kira-kira 2,400km serta Garis Kedudukan Sebenar (AGPL) yang membahagikan kedudukan semasa pos kedua-dua pasukan tentera di sepanjang 110km.
LoC pada mulanya dikenali sebagai Garis Gencatan Senjata pada 1949 selepas perang pertama New Delhi-Islamabad dan dinamakan semula di bawah Perjanjian Simla (1972).
LoC membahagikan Kashmir yang dituntut kedua-dua negara kuasa nuklear tersebut dan kekal menjadi salah sebuah sempadan paling dikawal ketat oleh pasukan tentera.
Konflik di kawasan itu tidak pernah reda dan pelaksanaan gencatan senjata hanya tempoh bertenang sementara sebelum konfrontasi ketenteraan seterusnya tercetus.
"Pelanggaran gencatan senjata pula bukan hanya melibatkan pertempuran sempadan. Tindakan lain yang dianggap mencabuli perjanjian damai adalah rampasan tanah dan serangan terancang serta terhad,” kata Pakar Dasar Luar di Jawaharlal Nehru University (JNU) di New Delhi, Happymon Jacob.
Bagi Profesor Sumantra Bose di Krea University di India dan penulis Kashmir at the Crossroads: Inside a 21st -Century Conflict, zon sempadan paling popular ialah Garis Hijau iaitu garis gencatan senjata pada 1949 yang memisahkan Israel dan Tebing Barat.
"Fenomena sempadan yang terbentuk akibat peperangan bukan hanya berlaku di Asia Selatan,” ujarnya.
Antara 2004 dan 2007, terdapat usaha menjadikan LoC sebagai sempadan lembut bertujuan mengurangkan ketegangan dan memupuk kerjasama rentas sempadan, namun proses itu gagal.
Hari ini, sempadan yang menjadi rebutan itu kembali bergolak dan mencetuskan semula kitaran keganasan dan situasi yang tidak menentu.
"Kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang. Keamanan amat rapuh di LoC,” kata seorang penduduk di Kashmir yang ditadbir Pakistan. - Agensi
Info:
>Sebelum gencatan senjata pada 2003, New Delhi melaporkan 4,134 pelanggaran pada 2001 dan 5,767 pada 2002.
>Pencabulan tempoh bertenang itu turut direkodkan pada 2004 hingga 2007. Ketegangan kembali tercetus pada 2008 dan meningkat secara mendadak pada 2013.
>Antara 2013 dan awal 2021, LoC dan IB menyaksikan konflik tahap tinggi yang berterusan. Perjanjian gencatan senjata yang diperbaharui pada Februari 2021 meredakan situasi di sempadan sehingga Mac 2025.
>Pada akhir September dan awal Disember 2016, lebih 27,000 penduduk hilang tempat tinggal akibat pelanggaran gencatan senjata dan pertempuran rentas sempadan.
>Jumlah populasi di wilayah de facto, Kashmir dianggarkan mencecah 14.5 juta orang. Seramai 10 juta orang di Jammu dan Kashmir yang ditadbir India dan kira-kira 4.5 juta penduduk di Azad Kashmir yang ditadbir Pakistan serta 1.8 juta orang di wilayah Gilgit-Baltistan.
India dan Pakistan berkongsi salah satu 'sempadan paling bahaya di dunia' sepanjang 3,323 kilometer (km) termasuk 740km zon LoC dan Sempadan Antarabangsa (IB) menjangkau kira-kira 2,400km serta Garis Kedudukan Sebenar (AGPL) membahagikan kedudukan semasa pos kedua-dua pasukan tentera di sepanjang 110km.
Sumber: Agensi
Muzik: Michael Briguglio Revenant by Soundstripe
Anda boleh baca berita penuh di portal Sinar Harian di www.sinarharian.com.my atau swipe up di IG story serta jangan lupa follow IG @sinarharian untuk berita terkini dalam dan luar negara.
#SinarHarian #SinarTerkini #IndiaPakistan #KrisisDunia #SempadanBahaya
" />