ACARA berbasikal malam paling ikonik negara ini, RHB LEKAS Highway Ride kembali menggegarkan Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn Bhd (LEKAS) sempena ulang tahun ke-10 penganjurannya dengan jangkaan penyertaan lebih 7,000 peserta dari dalam dan luar negara pada 11 Oktober depan.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Mohd Rashid Mohamad setakat ini lebih 3,000 peserta sudah mendaftar untuk acara itu.
"Dengan sambutan yang cukup menggalakkan ini, kami sangat yakin akan dapat mencapai sasaran 7,000 peserta pada edisi kali ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran RHB LEKAS Highway Ride, pada Isnin.
Seperti edisi sebelum ini, lebuh raya itu akan ditutup sepenuhnya dan diterangi lampu LED, menjadikannya kayuhan eksklusif tanpa gangguan kenderaan, satu pengalaman yang unik dan dinantikan peminat sukan dua roda itu setiap tahun.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai menyifatkan program berkenaan bukan sekadar kayuhan biasa.
"Acara ini bukan sekadar kayuhan, tetapi satu usaha menyatukan rakyat dalam suasana sihat dan inklusif. Kami bangga melihat bagaimana lebuh raya menjadi ruang yang menyeronokkan untuk semua,” katanya.
Sejak diperkenalkan pada 2013, acara itu menjadi antara acara kayuhan malam terbesar di Malaysia hingga meraih dua rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) tahun lalu iaitu bagi penyertaan paling ramai dan jarak paling panjang bagi perlumbaan malam di lebuh raya.
Edisi kali ini juga antara yang akan berentap termasuk 23 peserta setia iaitu 18 dari Malaysia dan lima dari Singapura, yang tidak pernah gagal menyertai acara itu sejak edisi pertama akan diberi penghargaan iaitu pas percuma sebagai tanda terima kasih atas sokongan selama sedekad.
Sebagai rekod, penganjuran tahun ini sekali lagi mendapat sokongan RHB Banking Group selaku penaja utama dan LEKAS sebagai penaja lokasi.
Turut memberi sokongan ialah Tokio Marine, Institut Jantung Negara (IJN) serta beberapa penaja lain termasuk IJM Land dan Dahua Technology.
Acara itu turut mendapat kerjasama penuh daripada Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dengan aspek keselamatan dan penyelenggaraan menjadi keutamaan sepanjang laluan.
INFO
RHB LEKAS Highway Ride
Kayuhan akan bermula di Plaza Tol Kajang Selatan, dengan lima kategori utama ditawarkan mengikut tahap kemampuan peserta
105 kilometer (km) – Kayuhan Kompetitif
78km – Kayuhan Pertengahan
17km – Kayuhan Terbuka
12km – Kayuhan Remaja
17km – Kategori Permulaan