CIANJUR - Akibat tamakkan harta, seorang suri rumah tergamak membunuh ibu kandung dan anaknya sendiri.
Pembunuhan kejam oleh YR, 34, di Kabupaten Cianjur, Jawa Barat di Indonesia itu turut dilakukan bersama bapanya dikenali sebagai C, 53.
Ketua unit jenayah Polres Cianjur, AKP Tono Listianto berkata, kedua-dua mangsa dibunuh dengan cara dicekik hingga mati.
"Pelaku kemudiannnya mengerat-ngerat tubuh mangsa untuk menghilangkan bukti. Perbuatan mereka bagaimanapun terbongkar selepas penemuan tengkorak di sebuah kebun oleh penduduk," lapor Kompas.com memetik kenyataannya pada Isnin.
Menurutnya, bahagian tulang dan kaki korban turut dijumpai di lokasi berbeza termasuk saluran irigasi.
"Berdasarkan penemuan menggemparkan itu, pihak berkuasa melakukan siasatan dan akhirnya membongkar perbuatan YR dan C. Kami berjaya merampas sejumlah barang bukti seperti pisau dan gunting yang digunakan untuk memenggal tubuh mangsa.
"Motif pembunuhan itu adalah kerana pelaku mahu menguasai harta milik ibunya. YR juga mengakui dia menyimpan dendam terhadap mangsa dan membunuh anaknya yang berusia tiga tahun kerana bimbang pembunuhan mangsa yang juga neneknya diketahui penduduk setempat," jelasnya lagi.
Tambahnya, kedua-dua pelaku telah dinamakan sebagai suspek utama dan boleh dikenakan hukuman mati jika disabit bersalah. - Agensi