SHAH ALAM – Pemilihan kepimpinan dalam Pas lazimnya berlangsung dalam suasana senyap dan sederhana tanpa sebarang kempen terbuka atau program riuh, selaras dengan budaya serta tradisi parti itu sejak sekian lama.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, suasana tenang itu sering menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai yang menyangka tiada proses pemilihan sedang berlangsung.
"Memang tradisi kami begitu. Tiada acara yang heboh atau bising. Kami dididik bahawa menjadi pemimpin adalah amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
"Rujukan kami dalam hal ini adalah al-Quran, hadis, ijmak dan qias,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, pemilihan Pas tetap dijalankan mengikut Perlembagaan parti iaitu setiap dua tahun sekali di semua peringkat, tanpa mengira sama ada tahun tersebut merupakan tahun pilihan raya atau tidak.
"Ya, ada pemilihan. Ia dijalankan seperti biasa dan Pas tidak bimbang atau takut berlaku unsur sabotaj walaupun muktamar berlangsung dalam tahun pilihan raya,” katanya.
Tambah beliau, pemilihan bermula dengan AJK Cawangan dari 1 Februari hingga 16 Mac 2025, diikuti pemilihan AJK Dewan Pemuda, Dewan Ulama dan Dewan Muslimat kawasan pada 19 April hingga 11 Mei.
Seterusnya, pemilihan AJK Kawasan berlangsung dari 25 Mei hingga 29 Jun, manakala peringkat negeri bagi ketiga-tiga dewan tersebut berlangsung antara 5 hingga 20 Julai.
Pencalonan AJK Pas Pusat pula akan bermula dalam Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan, sebelum Muktamar Pas Pusat berlangsung pada 15 dan 16 September 2025.
Idris turut menegaskan bahawa budaya melobi dan meminta jawatan tidak diamalkan dalam parti itu.
"Dalam Pas, kalau ada yang melobi, belum sempat habis baca iftitah pun dia akan kalah. Orang seperti ini tidak akan bertahan lama dalam parti. Sama ada dia keluar sendiri atau dikeluarkan,” ujarnya.
Katanya lagi, walaupun Pas bukan Islam dan Islam bukan Pas, dasar perjuangan parti tetap berpaksikan kepada Islam seperti yang termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan Pas.
"Pemimpin Pas bukan maksum, tetapi kami berusaha sebaik mungkin mempraktikkan apa yang diperintahkan dalam Islam,” katanya.