KUALA LUMPUR - Bekas personaliti televisyen, Norjuma Habib Mohamed didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas satu pertuduhan mencakar dan menampar seorang wanita, empat tahun lalu.
Norjuma, 45, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah di hadapan Majistret, Noorelynna Hanim Abd Halim.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara satu bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Semasa prosiding, peguam, Faiz Kamal Jaafar yang mewakili usahawan tudung itu merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan berbentuk denda.
"Anak guam tidak bekerja dan sedang menyambung pengajian di sebuah universiti tempatan.
"Dia ditanggung oleh bapanya yang juga seorang pesara kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Iman Nurhidayah Ezani mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Mengikut pertuduhan, dia dituduh menyebabkan kecederaan dengan cara menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 31, di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada jam 10.30 pagi, 18 Oktober 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda mencecah RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.