Tentera Israel serang gudang perubatan di Hospital Nasser, Gaza

Iklan
Tentera Israel pada pagi Isnin menyasarkan sebuah gudang yang menyimpan cecair perubatan dan bekalan di Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. Foto Al Jazeera

ANKARA - Tentera Israel pada pagi Isnin menyasarkan sebuah gudang yang menyimpan cecair perubatan dan bekalan di Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, di tengah-tengah serangan genosid yang berterusan sejak Oktober 2023, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kementerian Kesihatan Gaza memuat naik imej di media sosial yang menunjukkan kesan serangan tentera Israel ke atas gudang bekalan perubatan di dalam kompleks tersebut.

Iklan
Iklan

Gambar-gambar itu menunjukkan kemusnahan besar terhadap cecair perubatan, bekalan, dan peralatan penting berikutan serangan tentera Israel.

Serangan ini berlaku sehari selepas tentera Israel mengumumkan pelancaran serangan darat di beberapa kawasan di Gaza sebagai sebahagian daripada"Operation Gideon's Chariots," menandakan peningkatan berbahaya dalam perang genosid yang sedang berlangsung di wilayah Palestin tersebut.

Iklan

Minggu lalu, tentera Israel menyerang Kompleks Perubatan Nasser, hospital terbesar di Gaza, menyebabkan kematian dan kecederaan terhadap beberapa rakyat Palestin yang menerima rawatan di dalamnya, menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan Gaza.

Sepanjang kempen genosid di Gaza, tentera Israel secara sistematik menyasarkan hospital dan sistem penjagaan kesihatan Gaza, menyebabkan kebanyakannya tidak lagi berfungsi dan membahayakan nyawa pesakit serta mereka yang cedera, seperti yang didokumenkan oleh laporan Palestin dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Iklan

Tentera Israel telah melancarkan serangan ganas terhadap Gaza sejak Oktober 2023, mengakibatkan lebih 53,300 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. - Bernama/Anadolu