SHAH ALAM - Seorang jemaah haji Malaysia dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci pagi tadi akibat serangan jantung.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, jemaah yang dikenali sebagai Abdullah Mat, 59, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Jiwar, Jabal Omar, Makkah.
"Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Abdullah Mat, jemaah haji Malaysia dari Pasir Mas, Kelantan, yang telah kembali ke rahmatullah di Tanah Suci pada pagi 19 Mei 2025 bersamaan 21 Zulkaedah 1446 Hijrah, akibat serangan jantung.
"Allahyarham, 59 tahun, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Jiwar, Jabal Omar, Makkah dan merupakan jemaah dari Maktab 89A yang menginap di Abraj al Janadriyah.
"Arwah ditemani isterinya, Sarifah Hassan, sepanjang perjalanan haji ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, kematian tersebut merupakan kes kedua membabitkan jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini.
Terdahulu, seorang jemaah wanita, Norizah Tambonan, 47, turut disahkan meninggal dunia Jumaat lalu, akibat serangan jantung.
Norizah yang berasal dari Batu Pahat, Johor, juga menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Jiwar.
Dalam pada itu, Mohd Na’im memaklumkan bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) akan menguruskan pelaksanaan badal haji untuk Allahyarham, selain menyempurnakan segala urusan berkaitan dengan sebaiknya.
"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.
"Al-Fatihah,” doanya.