Pastikan binatang korban tepati hukum syarak - SUK Selangor

Iklan
Ahmad Fadzli (depan empat dari kanan) bergambar bersama wakil penyumbang semasa Majlis Perasmian dan Penyerahan Baucar Program Sumbangan Korban Negeri Selangor di Dewan Raja Musa di Shah Alam pada Isnin.

SHAH ALAM – Anak syarikat kerajaan negeri Selangor ditegur agar tidak mengabaikan syarat sah ibadah korban apabila menyumbangkan lembu kepada masjid dan surau sempena sambutan Aidiladha tahun ini.

Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, setiap haiwan yang disumbangkan perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam hukum syarak bagi mengelakkan sebarang isu berbangkit kemudian hari.

Iklan
Iklan

"Lembu dan kambing korban mestilah cukup syarat, cukup umur, tiada kecacatan dan elok dari segi fizikal serta kesihatan.

"Kita tidak mahu timbul masalah pada saat akhir seperti lembu tidak cukup syarat dan perlu dihantar balik,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Perasmian dan Penyerahan Baucar Program Sumbangan Korban Negeri Selangor di Dewan Raja Musa, di sini, pada Isnin.

Sebanyak RM6 juta diperuntukkan bagi menyediakan 700 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing bagi tujuan ibadah korban, yang akan diagihkan kepada penerima termasuk pengurusan tertinggi masjid dan surau serta kumpulan komuniti tempatan di seluruh negeri.

Iklan

Ahmad Fadzli berkata, jawatankuasa masjid dan surau juga perlu memainkan peranan dengan membuat semakan lebih awal bagi memastikan semua proses ibadah korban berjalan lancar.

"Kita tidak mahu berlaku situasi lembu sampai, baru perasan tidak cukup syarat. Saya ingatkan semua pihak supaya menyusun perancangan lebih awal agar apa yang kita sumbangkan kepada masyarakat benar-benar bermanfaat dan menepati syariat,” katanya.

Beliau menjelaskan, sumbangan tersebut disalurkan melalui mekanisme anak syarikat kerajaan negeri menerusi Tabung Amanah Sumbangan Anak Syarikat, Badan Berkanun, Agensi Kerajaan Negeri Selangor (TASASBA).

"Program ini merupakan inisiatif kerajaan Selangor dengan pelaksanaannya diselaraskan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) selama tujuh tahun berturut-turut,” tambahnya.