ASEAN-GCC-China jalur ekonomi baharu

Iklan
Negara juga akan menganjurkan dua lagi acara penting pada masa yang sama iaitu ASEAN–Gulf Cooperation Council (GCC) Kedua dan ASEAN-GCC-China.

PADA penghujung Mei 2025, akan berlangsung Sidang Kemuncak Negara ASEAN yang merupakan acara tahunan penting kepada kerjasama serantau.

Di sebalik tumpuan kepada Sidang Kemuncak ASEAN, negara juga akan menganjurkan dua lagi acara penting pada masa yang sama iaitu ASEAN–Gulf Cooperation Council (GCC) Kedua dan ASEAN-GCC-China.

Iklan
Iklan

ASEAN-Gulf Cooperation Council (GCC) merujuk kepada kerjasama antara negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (Gulf Cooperation Council - GCC) yang terdiri daripada Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Qatar, Bahrain, dan Oman.

Dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Gulf Cooperation Council (GCC) pertama merupakan satu titik tolak penting bagi negara rantau ini meneroka kerjasama dengan negara-negara Arab yang sebelum ini lebih banyak melabur di Eropah dan Amerika Syarikat.

Iklan

Antara pencapaian utama sidang ini ialah pemeteraian Rangka Kerjasama ASEAN-GCC 2024–2028, yang merangkumi inisiatif dalam dialog politik, perdagangan dan pelaburan, pendidikan, budaya, keselamatan siber, serta pertukaran rakyat.

Persidangan ini turut membuka peluang luas dalam ekonomi halal, tenaga boleh diperbaharui, dan kewangan Islam — bidang yang secara langsung memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai penghubung strategik antara kedua-dua rantau.

Iklan

Sidang itu turut mencapai kata sepakat untuk mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC secara dwitahunan, dengan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah untuk edisi kedua pada Mei 2025.

Pemilihan ini mencerminkan keyakinan serantau terhadap peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Malaysia sebagai pemudah cara dialog global yang berprinsip dan inklusif.

Diplomasi Perdana Menteri

Pemilihan ini mencerminkan keyakinan serantau terhadap peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Malaysia sebagai pemudah cara dialog global yang berprinsip dan inklusif.

Apa yang tidak disangka ialah selepas mendapat mandat menjadi tuan rumah kali kedua, Malaysia telah mencadangkan agar diadakan satu lagi sidang kemuncak yang lebih besar iaitu melibatkan Asean, negara-negara Teluk dan China. Buat pertama kali Sidang kemuncak ASEAN-GCC-China akan diadakan.

Perdana Menteri telah menunjukkan keupayaan diplomatik yang luar biasa apabila berjaya meyakinkan negara-negara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dan China untuk bersetuju mengadakan Sidang Kemuncak Tiga Hala.

Cadangan ini bukan sahaja mencerminkan keupayaan Malaysia untuk perubahan geopolitik semasa, tetapi juga menyerlahkan reputasi Anwar sebagai pemimpin berpengaruh yang diterima oleh pelbagai kuasa — dari dunia Islam, Asia Timur hinggalah kuasa besar seperti China.

Usaha Anwar mempertemukan ASEAN, GCC, dan China — tiga blok ekonomi dan politik penting — menggambarkan keupayaan beliau mencipta ruang strategik baharu yang dapat menjana peluang ekonomi, memperkukuh kestabilan rantau, serta mengangkat suara Global Selatan dalam kerangka hubungan antarabangsa.

Sidang kemuncak tiga hala ini — yang dicetuskan oleh Anwar — bakal membuka lembaran baharu dalam kerjasama Selatan-Selatan yang lebih mapan dan saling menguntungkan.

Mengapa sidang ini penting

Dalam landskap dunia yang semakin kompleks dan berbilang fraksi, cadangan penganjuran sidang tiga hala antara ASEAN, GCC dan China menjanjikan satu era baharu kerjasama global yang menjangkaui sekadar hubungan dua hala konvensional.

Gabungan ketiga-tiga pihak ini merangkumi hampir 2.8 bilion penduduk, iaitu kira-kira 35 peratus daripada populasi dunia, dan menyumbang lebih 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, dengan jumlah melebihi 22 trilion dolar AS.

Angka ini menggambarkan kuasa ekonomi dan demografi yang besar bagi blok kerjasama tersebut, sekaligus menjadikan sidang tiga hala ini sangat strategik dari sudut geopolitik dan ekonomi.

Dari sudut perdagangan, ASEAN dan China mencatatkan nilai dagangan melebihi 850 bilion dolar AS pada tahun 2023, manakala perdagangan antara ASEAN dan GCC pula mencatat kira-kira 110 bilion dolar AS – mencerminkan potensi pertumbuhan yang memberangsangkan dalam ekonomi rentas benua.

Pelaburan langsung asing dari GCC ke negara-negara ASEAN pula meningkat sebanyak 15 peratus dalam tempoh lima tahun kebelakangan, menandakan hubungan ekonomi yang semakin kukuh dan saling melengkapi.

Bagi China, inisiatif Belt and Road (BRI) menjadi pemangkin utama dengan pelaburan bernilai lebih 300 bilion dolar AS yang tertumpu kepada pembangunan infrastruktur dan teknologi hijau di Asia Tenggara dan Timur Tengah, sekaligus mengukuhkan jaringan logistik dan ekonomi serantau.

Kepentingan sidang tiga hala ini tidak hanya terhad kepada aspek ekonomi semata-mata.

Dalam era peralihan kuasa global yang mencabar, ia membuka ruang kepada negara-negara membangun untuk membentuk jalur ekonomi dan budaya alternatif yang lebih adil dan inklusif.

Dalam konteks tenaga, GCC menguasai lebih 30 peratus pengeluaran minyak dunia dan kekal sebagai pengeksport utama tenaga global.

Namun, negara-negara ASEAN sedang giat melaksanakan sasaran tenaga boleh diperbaharui yang dijangka mencapai 23 peratus daripada campuran tenaga menjelang 2025.

Kolaborasi ini akan membuka peluang besar bagi GCC dan ASEAN untuk bekerjasama dalam peralihan tenaga dan pembangunan mampan, termasuk pelaburan teknologi hijau dan tenaga bersih.

Dari sudut geopolitik, kawasan Laut China Selatan yang menjadi laluan perdagangan global bernilai lebih tiga trilion dolar AS setiap tahun, adalah fokus penting dalam menjamin keselamatan dan kelancaran laluan maritim bagi ketiga-tiga pihak.

Sidang tiga hala ini memungkinkan ASEAN untuk mengukuhkan kedudukan neutralnya, manakala GCC dapat mengimbangi pengaruh tradisional kuasa Barat di rantau mereka.

China pula berpeluang mengekalkan kestabilan strategik bagi memastikan kesinambungan projek dan inisiatif ekonomi seperti BRI.

Dalam hal ini, Malaysia memainkan peranan signifikan sebagai jambatan diplomatik yang dipercayai, serta suara moderat yang sentiasa menggalakkan dialog, kestabilan serantau dan kerjasama bebas.

Bagi Malaysia, sidang ASEAN-GCC-China ini sejajar dengan dasar luar negara yang menekankan keterangkuman, jaringan pelbagai hala, dan ekonomi terbuka.

Sidang ini bakal mempromosi model kerjasama yang berasaskan prinsip saling menghormati kedaulatan, keadilan perdagangan, serta keperluan bersama dalam isu perubahan iklim, keselamatan makanan dan inovasi teknologi.

Ia selaras dengan aspirasi Malaysia dan beberapa negara ASEAN yang memperjuangkan sistem antarabangsa yang lebih seimbang dan memberikan ruang kepada suara negara-negara membangun.

Malaysia mungkin boleh mengambil kesempatan dari persidangan pertama ini untuk mewujudkan Sekretariat Tetap Kerjasama ASEAN-GCC-China di Kuala Lumpur.

Dengan kedudukan strategik Malaysia di persimpangan tiga benua ini, negara berpeluang menjadi kuasa penghubung yang kukuh dan penyumbang utama kepada kestabilan serta kemakmuran serantau.