JAIS tunggu laporan lengkap isu bau busuk di Tanah Perkuburan Paya Jaras

Iklan
Sinar Harian pada 16 Mei melaporkan, kerajaan Selangor memandang serius aduan penduduk berhubung pencemaran air dari kawasan sekitar yang mengalir melalui tapak pembinaan Tanah Perkuburan Islam di Paya Jaras, Sungai Buloh sehingga menyebabkan bau busuk. (Gambar kanan: Mohd Shahzihan)

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menunggu laporan lengkap daripada beberapa agensi berkaitan sebelum mengambil tindakan susulan berhubung isu aliran air melalui tapak pembinaan Tanah Perkuburan Islam di Paya Jaras, Sungai Buloh yang menyebabkan bau busuk.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya menghentikan sebarang aktiviti berkaitan di tapak perkuburan itu buat sementara waktu sehingga hasil siasatan diterima.

Iklan
Iklan

"Daripada JAIS, kita hentikan dahulu dan sekarang kita tunggu laporan daripada beberapa agensi untuk melihat tindakan lanjut termasuk langkah pemulihan yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Perasmian dan Penyerahan Baucar Program Sumbangan Korban Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa di sini pada Isnin.

Iklan

Mohd Shahzihan memaklumkan, pihaknya akan meneliti semua isu teknikal serta mengenal pasti punca masalah sebenar.

Beliau memberitahu, setakat ini laporan penuh masih belum diterima dan ia dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Iklan

Mengulas mengenai tahap keselamatan penduduk sekitar, Mohd Shahzihan mengakui terdapat sedikit gangguan bau yang memberi kesan tidak serius, namun masih dalam kawalan.

"Ada kesan bawah permukaan tanah mengganggu sedikit sahaja, namun setakat ini tiada laporan berkaitan penduduk dimasukkan ke hospital,” katanya.

Menurut beliau, kawasan tanah perkuburan itu melibatkan keluasan empat hektar dan hanya satu tapak baharu yang sedang dalam proses pengurusan tanah sebelum digunakan untuk pengebumian.

"Kawasan itu sebelum ini mempunyai cerun yang agak dalam, jadi kita tambak untuk meratakan permukaan.

"Sekarang tapak sudah rata dan hanya menunggu proses selanjutnya,” tambah beliau.

Terdahulu, Sinar Harian pada 16 Mei lalu melaporkan, kerajaan Selangor memandang serius aduan penduduk berhubung pencemaran air dari kawasan sekitar yang mengalir melalui tapak pembinaan Tanah Perkuburan Islam di Paya Jaras, Sungai Buloh sehingga menyebabkan bau busuk.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, beberapa aduan telah diterima oleh pihak JAIS berhubung bau kurang menyenangkan dan beberapa isu lain yang mengganggu keselesaan penduduk.