GOPENG – Remaja lelaki yang ditemukan lemas di sebuah lombong di Jalan Kilang Simen, Kota Bharu, di sini, pada Ahad, pernah meluahkan hasrat untuk mendapatkan pekerjaan tetap bagi membantu keluarganya.
Muhammad Fazrul Qusry Ahmad Asmawi, 18, dikatakan sedang berusaha mencari pekerjaan sebaik sahaja tamat sekolah bagi meringankan beban kedua-dua ibu bapanya yang bekerja sebagai peniaga pasar.
Ibu mangsa, Syamira Mustafa, 42, berkata, ramai majikan menolak untuk menggajikan Muhammad Fazrul Qusry kerana Allahyarham belum mencapai usia 18 tahun.
"Sebelum ini, dia hanya bekerja sambilan dengan melakukan kerja-kerja kampung bagi mencari duit poket.
"Dia pernah cakap, bila cukup umur nak cari kerja tetap sebab nak bantu keluarga. Julai ini genap usianya 18 tahun, tetapi ALLAH lebih sayangkan dia,” katanya ketika ditemui di Dewan Komuniti Kampung Changkat Tualang, di sini, pada Isnin.
Menurut Syamira, sejak rumah mereka terbakar pada Februari lalu, keluarga mereka terpaksa menumpang di dewan komuniti kampung tersebut.
Katanya, permohonan bantuan bagi membina semula rumah telah dikemukakan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan kini dalam proses semakan status tanah.
"Sehari sebelum kejadian, arwah cakap pada saya, ‘Ibu, saya nak duduk rumah baharu’. Saya sangka dia dah tak selesa duduk di dewan ni. Rupanya rumah yang dia maksudkan tu... rumah yang kekal abadi,” katanya dalam nada sebak.
Pada Sabtu, Muhammad Fazrul Qusry dilaporkan hilang selepas cuba berenang menyeberangi lombong ketika keluar memancing bersama rakan.
Jasadnya ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat pada hari kedua operasi, kira-kira jam 9.40 pagi, di kedalaman antara tiga hingga tujuh meter.
Syamira berkata, ketika kejadian, dia dan suaminya, Ahmad Asmawi Jamalulkhir, 42, berada di Taiping menghadiri majlis kenduri bersama anak-anak lain.
"Dalam jam 6 lebih, suami saya terima panggilan yang memaklumkan anak kami menyelam, tetapi tak naik semula. Rasa lemah lutut waktu itu, hanya doa yang mampu saya ucap,” katanya.
Tambah Syamira, Allahyarham merupakan anak yang rapat dengannya, ringan tulang dan sangat mengambil berat tentang adik-beradik.
"Dia memang suka memancing dan sangat pandai berenang. Kawan-kawan pun selalu ajak dia pergi sama. Cuma kali ini, dia pergi dan tak kembali,” katanya.
Jenazah Muhammad Fazrul Qusry selamat dikebumikan sekitar jam 4.15 petang pada Ahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Tualang.
Terdahulu, Syamira dan suami menerima kunjungan Exco Kerajaan Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Mohd Azlan Helmi.
Dalam kunjungan tersebut, Mohd Azlan bercadang menempatkan keluarga Syamira di rumah sewa sementara kediaman baharu disiapkan dan boleh diduduki.