MELAKA - Gara-gara gagal melaporkan pemberian rasuah daripada kontraktor projek, seorang pengarah syarikat didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Azrul Rizad Othman, 47, selepas dia membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan, beliau sebagai pemilik Mediaworks Design telah diberikan suapan wang tunai sebanyak RM3,000 oleh seorang lelaki dan gagal melaporkan pemberian suapan itu kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai polis terdekat.
Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah kafe di Jalan Kota Fesyen 1, di sini pada 18 September 2024.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, tertuduh dilantik sebagai perunding bagi kerja projek membina rumah kediaman teres satu tingkat di Tanjung Minyak bernilai RM1.9 juta, dan telah meminta wang tunai sebanyak RM3,000 sebagai rasuah untuk dirinya sendiri, sebagai dorongan untuk mengesyorkan sebuah syarikat kontraktor bagi melaksanakan kerja tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari, memohon agar tertuduh dikenakan hukuman denda setimpal, mengambil kira kepentingan awam.
Beliau turut memaklumkan bahawa wang tunai yang disita berjumlah RM3,000 telah dikembalikan kepada SPRM, dan pertuduhan asal di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 telah diambil kira selaras dengan peruntukan Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Sementara itu, peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan denda rendah dan tidak dipenjara atas alasan menyara isteri yang merupakan suri rumah dan ibu kandung, selain mempunyai pendapatan yang tidak tetap.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM20,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut, dan turut membenarkan permohonan pendakwaan.