Segera kuat kuasa penuh Akta 852 untuk kekang penggunaan vape - NGO Kesihatan

Iklan
Segera kuatkuasa penuh Akta 852 untuk kekang penggunaan vape. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) didesak supaya mengambil tindakan segera untuk melaksanakan penguatkuasaan penuh terhadap Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) berikutan peningkatan membimbangkan penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan belia di negara ini.

Persatuan Torasik Malaysia (MTS) dan Yayasan Paru-paru Malaysia (LFM) dalam satu kenyataan bersama berkata, tindakan segera ini penting bagi membendung krisis kesihatan yang semakin meruncing akibat penggunaan produk berbahaya tersebut.

Iklan
Iklan

"Kami amat bimbang terhadap strategi pemasaran peranti vape berwarna‑warni seperti mainan yang menyerupai pen penanda, pemacu penyimpanan data mudah alih (USB) dan gula‑gula, sekali gus menyembunyikan bahaya ketagihan nikotin di sebalik rupa yang comel.

"Ini bukan pengurangan mudarat, sebaliknya merekrut golongan muda. Lebih membimbangkan, guru dan kaunselor memberi amaran bahawa vaping (penggunaan vape) kini menjadi permulaan kepada ketagihan dadah.

Iklan

"Laporan menunjukkan pelajar beralih daripada e‑rokok berperisa kepada bahan terlarang selepas terbiasa dengan nikotin, manakala ujian dadah sekolah mencatat peningkatan keputusan positif Tetrahydrocannabinol (THC) dan dadah lain dalam kalangan vaper tegar," kata kenyataan bersama itu.

Sinar harian pada Ahad melaporkan, larangan terhadap penggunaan produk vape perlu segera dikenakan di seluruh negara bagi menangani peningkatan risiko kesihatan dan penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan belia.

Iklan

Gesaan itu dibuat Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye susulan data polis mengenai rampasan cecair vape yang dicampur dadah meningkat 32 peratus manakala KKM pula mendedahkan bahawa 65.6 peratus daripada cecair vape yang dirampas dalam tempoh dua tahun lepas mengandungi dadah berbahaya.

Sementara itu, MTS dan LFM berkata, dengan adanya penguatkuasaan penuh dan diwartakan, ia boleh mengekang lambakan produk vape serta membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pemasaran memangsakan belia, termasuk mengharamkan peranti mirip mainan.

"Kami dalam masa sama memuji inisiatif proaktif negeri Johor, Kelantan, Terengganu dan Perlis yang menghadkan jualan vape. Namun, tanpa penguatkuasaan persekutuan yang konsisten, usaha ini mungkin tidak mencukupi untuk menangani epidemik nasional," katanya.