ISKANDAR PUTERI - Seorang pemuda tempatan berusia 25 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 24.1, Jalan Johor Bahru - Pontian di sini, pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11.20 pagi melibatkan sebuah motosikal jenis Honda RS yang ditunggang mangsa dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu oleh seorang wanita berusia 66 tahun.
Iklan
Iklan
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta terbabit keluar dari susur jalan untuk memasuki jalan utama sebelum dilanggar dari arah belakang oleh motosikal mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Kumarasan berkata, akibat pelanggaran tersebut, mangsa tercampak ke atas jalan raya, manakala motosikalnya tercampak ke dalam sungai berhampiran lokasi kejadian.
"Mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” tambahnya.
Menurut Kumarasan, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu dan berbahaya.
Polis turut menyeru orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pejabat Pertanyaan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5101322.