Tunggakan sewa PPR, PA cecah RM70 juta

Iklan
Maimunah

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini berdepan isu tunggakan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di ibu kota yang mencecah RM70 juta.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, kadar tunggakan yang tinggi itu memberi kesan terhadap usaha penyelenggaraan dan perkhidmatan melibatkan kemudahan komuniti.

Iklan
Iklan

"Antara langkah yang diambil DBKL adalah pemasangan kunci air terhadap unit yang tidak membuat bayaran selepas diberikan tempoh yang munasabah serta mengeluarkan notis.

"Selain itu, DBKL turut menganjurkan program advokasi kewangan termasuk melibatkan pelan rundingan kepada penyewa bagi memastikan bayaran dapat dijelaskan dengan sepatutnya," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Kesejahteraan Komuniti Bandar Selamat PPR Bestari di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Maimunah berkata, penyelenggaraan bangunan menjadi cabaran utama yang perlu ditangani segera berikutan tunggakan yang tinggi mengganggu kelancaran kerja-kerja penyenggaraan dan operasi kebersihan.

Iklan

"Hasil kutipan sewa digunakan semula untuk menampung kos melibatkan pembaikan kemudahan awam, penyelenggaraan bangunan dan pelbagai perkhidmatan yang dinikmati penduduk.

"Sekiranya hasil kutipan sewa rendah disebabkan ramai yang tidak membayar, ia akan memberi kesan kepada perkhidmatan yang diberikan, namun kita memberi peluang kepada penyewa untuk berunding semula, ada ruang untuk membayar mengikut kemampuan," katanya.

Menurutnya, terdapat PPR tertentu seperti di Desa Rejang kini dikendalikan melalui Management Corporation (MC).

"Bagaimanapun, DBKL tetap memberikan sokongan dari segi teknikal dan logistik.

"Pengurusan bangunan melalui badan korporat atau Management Corporation (MC) turut diberi perhatian agar mutu kehidupan penduduk tidak terjejas," katanya.

Mengulas berkaitan sesi libat urus ini, Maimunah berkata, DBKL menerima pelbagai aduan serta pandangan penduduk mengenai isu keselamatan, penyelenggaraan, tempat letak kereta dan persekitaran.

Selain itu, ujar Maimunah, DBKL sedang menilai kemungkinan membuka peluang pemilikan rumah kepada penyewa yang benar-benar layak.

"DBKL sedang meneliti semula dasar sedia ada supaya membolehkan penyewa yang layak memiliki unit PPR.

"Sekiranya mereka mempunyai keupayaan, kita pertimbangkan cadangan agar mereka dapat memiliki kediaman yang didiami," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran penduduk terhadap kepentingan keselamatan kejiranan serta memperkukuh kerjasama antara agensi penguat kuasa serta komuniti setempat.

Beliau berkata, PDRM sentiasa komited menggerakkan pendekatan berasaskan komuniti selaras prinsip Malaysia Madani bagi mewujudkan kawasan perumahan awam yang lebih selamat dan harmoni.