Penduduk Sungai Long desak kandang lembu haram dipindahkan segera

Iklan
Sisa najis lembu yang tidak diuruskan sebaiknya menyebabkan pencemaran bau dan mengundang kehadiran lalat di kawasan penempatan penduduk.

HULU LANGAT - Penduduk Kampung Sungai Long di sini menggesa kerajaan negeri agar segera menyelesaikan masalah pencemaran yang didakwa berlaku akibat operasi penternakan lembu secara haram di kawasan tanah rizab kerajaan sejak 2018.

Wakil penduduk, Razi Md, 30, mendakwa, kandang yang didirikan sekitar 200 meter dari penempatan penduduk menyebabkan mereka terpaksa menghidu bau busuk melampau akibat sisa najis lembu yang tidak diuruskan, selain menyebabkan kehadiran lalat.

Iklan
Iklan

"Sebagai penduduk, kami sudah tertekan dengan keadaan ini. Mereka buat struktur kekal yang lengkap berbumbung, bertiang dan berlantaikan batu di atas tanah rizab sungai sebagai tempat simpanan lembu sebelum diedarkan ke pusat penyembelihan sekitar Selangor.

Struktur kandang lembu bertiang dan beratap yang dipercayai didirikan di atas tanah rizab kerajaan di Kampung Sungai Long sejak 2018.

"Pada awalnya kami tidak kisah sangat sebab lembu hanya diletakkan sekejap tetapi semakin lama, ia jadi tempat simpanan lembu secara tetap dan najis pula hanya dilonggokkan begitu sahaja di tepi kandang tanpa sistem pelupusan yang betul.

Iklan

"Setiap pagi dan petang bau najis naik sehingga ke rumah kami. Kalau hujan atau panas terik, baunya lebih teruk sehinggakan kami tidak dapat menjemur pakaian terlalu lama di luar kerana risau bau ini akan melekat pada pakaian,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tambah Razi, penduduk juga turut bimbang mengenai isu kesihatan apabila kehadiran lalat yang banyak berpotensi mengganggu kebersihan terutama melibatkan penyediaan makanan.

Iklan

Menurutnya, pelbagai aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa, namun operasi penternakan secara haram itu masih diteruskan sehingga kini tanpa sebarang tindakan pengosongan tapak.

"Kawasan sekitar kandang ini pernah menjadi tapak pembuangan sampah haram tetapi selepas serbuan dilakukan, kawasan ini diubah menjadi kandang lembu menyebabkan lalat penuh masuk rumah dan hinggap pada makanan, anak-anak juga terdedah dengan risiko kesihatan.

"Pada 12 Ogos tahun lalu, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah mengeluarkan notis kompaun dan amaran, selain Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) Hulu Langat turut memberi notis mengenai pendudukan tanah secara tidak sah pada Disember 2024.

"Lebih membimbangkan, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) turut mengesahkan berlaku aktiviti pengekstrakan air tanpa lesen di tapak tersebut bagi memberi minum lembu yang menunjukkan pelbagai pelanggaran peraturan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Razi berkata, pihaknya turut mendapat maklum balas daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bahawa penternak membuat permohonan secara rasmi menggunakan tanah tersebut pada Mac 2024 iaitu sebulan sebelum aduan rasmi dihantar oleh penduduk.

"Kami sudah bertahun buat aduan di pelbagai agensi kerajaan mengikut saluran yang betul tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan konkrit yang diambil.

"Lebih kecewa apabila PTG beritahu tidak boleh ambil tindakan kerana permohonan sedang diproses.

"Kami tidak mahu menganiaya sesiapa tetapi harap ada tindakan yang sewajarnya supaya kami boleh hidup selesa tanpa gangguan seperti ini dan saya harap mereka dapat memindahkan operasi penternakan lebih jauh daripada penempatan,” katanya lagi.