Kes Abang Belon: Lelaki ugut penguat kuasa DBKL didakwa esok

Iklan
Rusdi

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki mengugut anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi hantaran media sosial susulan insiden melibatkan penjaja belon yang tular hujung Mac lalu mengundang padah apabila dia bakal didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, individu terbabit yang merupakan lelaki tempatan akan dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Iklan
Iklan

"Kes ini melibatkan ugutan yang dibuat oleh seorang pemilik akaun Facebook terhadap pihak penguat kuasa.

"Pertuduhan akan dijalankan di mahkamah esok (Isnin),” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Kesejahteraan Komuniti Bandar Selamat PPR Bestari di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang di sini pada Ahad.

Kes berkenaan berkait dengan insiden tular membabitkan seorang penjaja dikenali sebagai Muhammad Zaimuddin Azlan atau ‘Abang Belon’ yang mendakwa dikasari anggota penguat kuasa DBKL dalam satu operasi penguatkuasaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 28 Mac lalu.

Iklan

Susulan kejadian itu, polis telah menerima beberapa laporan, termasuk daripada anggota penguat kuasa DBKL yang mendakwa menerima ugutan melalui platform media sosial.

Siasatan berhubung kes itu dibuka di bawah Seksyen 506 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.