KUALA LUMPUR – Peranan muzium perlu terus diperkukuh sebagai institusi yang relevan serta berimpak dalam pembangunan sosial, ekonomi dan budaya di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ia selaras dengan matlamat kementerian yang mahu mewujudkan muzium bukan sahaja bersifat pendidikan tetapi menjadi ruang transformasi.
"Muzium bukan sekadar tempat menyimpan artifak sebaliknya merupakan ruang di mana kisah diceritakan, identiti dibentuk dan komuniti disatukan.
"Dengan mendukung transformasi digital, kita bukan sahaja memelihara masa lalu, tetapi membentuk masa depan," katanya pada Majlis Perasmian Seminar Hari Muzium Antarabangsa Malaysia 2025 di sini pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim.
Bertemakan The Future of Museums in Rapidly Changing Communities, seminar itu dianjurkan oleh Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Majlis Muzium Antarabangsa Malaysia (ICOMMAL) dan Lembaga Muzium Negeri Kedah.
Tiga sub-tema utama dipilih dalam seminar tersebut iaitu Intangible Heritage, Youth Power dan New Technologies yang telah mengupas cabaran dan peluang untuk muzium beradaptasi dalam dunia yang cepat berubah.
Selain itu, seminar berkenaan turut menyediakan platform untuk perkongsian pengetahuan antara profesional muzium serantau dan antarabangsa serta memperkukuh rangkaian kerjasama antarabangsa dalam bidang permuziuman.
Kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada para pengamal muzium, penyelidik, ahli akademik, pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi dan syarikat-syarikat swasta yang terlibat dalam pendigitalan muzium, menyertai seminar tersebut.
Mengulas lanjut Aaron memaklumkan, Malaysia merupakan rumah kepada 232 muzium, merangkumi muzium peringkat persekutuan, institusi yang dikendalikan oleh negeri, koleksi persendirian dan muzium peribadi.
"Institusi-institusi ini bukan sekadar penjaga sejarah kita tetapi sebagai pusat yang hidup dan aktif dalam memelihara warisan serta memupuk perpaduan dan keterangkuman nasional,"katanya.
Beliau berkata, kementeriannya komited memastikan muzium mencerminkan nilai inklusiviti, kebolehcapaian, kelestarian dan kepelbagaian, sejajar dengan peranan baharu Jabatan Muzium Malaysia yang kini di bawah kementerian tersebut.