KOTA BHARU – Kemahiran membuat senjata memberi limpahan rezeki kepada seorang tukang besi di Kampung Buloh Poh di sini sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Almizan Mat Husin, 44, mula menerima tempahan pisau sejak Ramadan lalu dan kini berusaha menyiapkan semua peralatan menyembelih itu dengan bantuan beberapa pembantu.
Menurut Almizan, sehingga kini lebih 150 pisau untuk menyembelih, melapah daging dan memotong tulang lembu ditempah.
"Saya boleh menyiapkan lapan bilah pisau sehari bergantung pada saiz dan sarung mengikut kehendak pelanggan," katanya ketika ditemui di bengkelnya pada Ahad.
Almizan lazimnya akan melakukan kerja-kerja menempa pada waktu pagi dan proses menajamkan pisau menjelang tengah hari.
Jelasnya, besi untuk membentuk pisau biasanya dibawa oleh pelanggan membabitkan besi terpakai termasuk dari kilang kayu selain ditempah dari Selangor.
Berkongsi kebolehannya itu, Almizan berkata, semuanya bermula ketika dia berusia 10 tahun selepas melihat arwah bapanya, Allahyarham Mat Husin Mamat, menerima banyak tempahan daripada penduduk kampung.
"Sejak itu saya mula belajar membuat senjata terutama pisau, keris serta badik dan mula serius pada tahun 2006," katanya.
Anak ketiga daripada lapan beradik itu juga tidak menang tangan selepas menjadi 'pengganti' arwah bapanya.
"Pada mulanya saya tidak terfikir untuk menjual senjata yang dihasilkan itu dan ia sekadar untuk kegunaan sendiri tetapi ada yang berminat sehingga dapat menjadi sumber pendapatan utama saya," katanya.
Tambahnya lagi, dalam tempoh dua bulan ini, dia hanya memfokuskan menyiapkan tempahan pisau untuk Hari Raya Aidiladha sahaja dan tidak menerima tempahan senjata lain.
Bagaimanapun, Almizan memberitahu, dalam kegawatan ekonomi tidak banyak tempahan yang diterima pada musim perayaan berbanding sebelum ini yang boleh mencecah lebih 300 bilah pisau.
Jelasnya, senjata mempunyai peminat tersendiri malah ada yang menyimpannya sebagai koleksi peribadi.
"Ada yang mereka bentuk sendiri dan saya seboleh mungkin akan menghasilkannya berdasarkan kemahuan pelanggan," katanya.
Almizan yang turut membuat sarung senjata biasanya menggunakan kayu halban, macang hutan dan kayu seribu bunga kerana lebih tahan lama serta cantik.