Bung Moktar sedia debat dengan Jeffrey Kitingan, isu 'Sabah for Sabahan' pun 'on'

Iklan
Bung Moktar ketika berucap pada majlis pelancaran Gerak17 UMNO Sabah Parlimen Sepanggar di Institut Kemahiran Mara (IKM), Sepanggar di sini pada Sabtu.

KOTA KINABALU - Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan kesediaannya untuk berdebat secara terbuka dengan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berhubung sebarang isu termasuk slogan 'Sabah untuk rakyat Sabah'.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, ungkapan berunsur sentimen kenegerian seperti itu dilihat semakin kerap digunakan oleh pihak tertentu sebagai strategi untuk meraih sokongan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Iklan
Iklan

"Pilihan raya ini terlalu penting, sebab itu timbullah ungkapan 'Sabah for Sabahan', 'Sabah First' dia kata.

"Saya mahu beritahu Dr Jeffrey Kitingan, kenapa selepas pilihan raya 2018, Warisan dapat 29 kerusi?

Iklan

"Dr Jeffrey, kenapa kau tidak fikir sokong Warisan, kenapa kau jual parti kepada Barisan (BN), kalau betul kau fikir 'Sabah for Sabahan' Dr Jeffrey kena pilih Warisan, tapi dia pilih BN.

"Kalau dia mahu debat dengan saya, saya lawan. Apa isu pun boleh, Sabah for Sabahan pun saya 'on'," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Gerak17 UMNO Sabah Parlimen Sepanggar di Institut Kemahiran Mara (IKM), Sepanggar di sini pada Sabtu.

Bung Moktar (dua dari kanan) bersama Ahmad Zahid (dua kanan) ketika hadir pada majlis pelancaran Gerak17 UMNO Sabah Parlimen Sepanggar di IKM Sepanggar, Kota Kinabalu.

Hadir sama pada majlis tersebut, Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertingi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan.

Bercakap mengenai soal kerjasama, Bung Moktar menegaskan bahawa perbincangan perlu dilakukan secara berhemah, namun pada masa sama beliau turut membidas tindakan pihak tertentu yang memungkiri janji yang telah dipersetujui.

"Perdana Menteri di Tawau menyatakan supaya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempertimbangkan untuk bersama BN dan Pakatan Harapan (PH).

"Saya kata, kalau mahu bincang, bincanglah. Tapi kalau mahu bincang, biarlah gentleman. Jangan bincang pagi, tengah hari sudah buang.

"Inilah sifat pemimpin GRS. Kita setuju pagi ini, tengah hari dia buang," katanya.

Sehubungan itu, katanya lagi, walaupun ada kerjasama dengan mana-mana parti, namun PH tetap akan menjadi gabungan untuk menghadapi PRN Sabah.