KUALA SELANGOR - Laluan sempit dan rosak di tepi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang di sini ibarat perangkap bahaya yang mengancam nyawa pelajar dan ibu bapa setiap hari.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, keadaan jalan itu amat membimbangkan selepas beliau sendiri turun padang bersama jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu untuk meninjau lokasi berkenaan.
"Saya sendiri lihat keadaan jalan sempit, berlubang dan mengundang risiko bahaya kepada pengguna jalan raya terutama ibu bapa serta pelajar yang melalui jalan terbabit," katanya menerusi satu video di TikTok pada Ahad.
Nurul Syazwani memberitahu, lebih membahayakan terdapat tiga longkang tersembunyi yang dilitupi semak dan lalang.
Menurut beliau, sudah ada kes kemalangan kecil berlaku akibat lubang jalan dan permukaan tidak rata, malah keadaan lebih teruk setiap kali hujan.
"Ada pelajar dan ibu bapa yang terjatuh dan lebih menakutkan, laluan ini tiada lampu selain dalam keadaan gelap kerana sesiapa sahaja boleh terperosok ke dalam longkang,” ujarnya.
Nurul Syazwani berkata, aduan mengenai isu itu telah lama disuarakan oleh penduduk dan jawatankuasa PIBG sekolah itu, namun belum ada penyelesaian tuntas daripada pihak berwajib.
"Keselamatan anak-anak ini perlu jadi keutamaan kerana kita tidak mahu berlaku sesuatu tragedi baru hendak bertindak," jelas beliau.
Sehubungan itu, tegas beliau, langkah pencegahan perlu diambil segera termasuk kerja-kerja baik pulih, pemasangan pencahayaan dan papan tanda amaran bagi mengelakkan insiden lebih serius.
"Sudah tiba masanya kita anggap isu ini sebagai kecemasan kerana mencegah lebih baik daripada merawat terutama ia melibatkan nyawa pengguna yang melalui laluan ini,” katanya.