Malaysia ke final jumpa Thailand

Iklan
Malaysia menewaskan India bagi menempah aksi final menentang Thailand acara regu berpasukan Piala Asia pada Sabtu. Foto FB PSM

SKUAD sepak takraw negara berada di landasan terbaik untuk menamatkan kemarau 34 tahun meraih gelaran regu berpasukan sejak kali terakhir dimenangi pada tahun 1991.

Peluang itu wajar direalisasikan apabila Malaysia mara ke final menentang musuh tradisi, Thailand dalam saingan Piala Asia Kuala Lumpur 2025 di Stadium Titiwangsa pada jam 4 petang ini.

Iklan
Iklan

Kejayaan melangkah ke pentas akhir tersebut diraih selepas anak buat Ahmad Jais Baharun menewaskan India 2-0 pada pertembungan separuh akhir sebentar tadi.

Thailand pula meraih tiket final setelah menumpaskan Korea Selatan 2-0 dalam satu lagi aksi kelompok empat terbaik.

Iklan

Malaysia sebelum ini sudah menjulang dua trofi bagi acara kuadran dan regu, manakala Thailand mengungguli acara double.

Gandingan Mohammad Syahir Rosdi selaku tekong, Mohamad Azlan Alias sebagai apit kanan dan Amirul Zazwan Amir selaku apit kiri mudah menyumbang mata pertama buat negara.

Iklan

Trio India, Wahengbam Henary Singh sebagai tekong, Bobby Kumar (perejam) dan Ram Kumar Sharma (pengumpan) bagai tiada jawapan untuk menandingi Malaysia apabila terpaksa akur tewas 8-15, 6-15.

Kemenangan itu menyuntik semangat Muhammad Haziq Hairul Nizam bertindak sebagai tekong, Muhammad Noraizat Mohd Nordin (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) untuk mematikan langkah pasukan lawan.

Biarpun disaing sengit barisan pemain India, Arun selaku tekong, Yumnam Akash (perejam) dan Sorokhaibam Singh (pengumpan), namun pengalaman memisahkan trio negara untuk mengesahkan kemenangan 15-8, 15-5.

Menerusi kemenangan 2-0 itu, trio Muhammad Zulkifli Abd Razak sebagai tekong, Muhammad Afifuddin Mohd Razali (perejam) dan Aidil Aiman Azwawi (pengumpan) boleh meninggalkan gelanggang tanpa mengeluarkan peluh.

Begitu juga dengan Amarjit Singh selaku tekong, Mayengbam Ashok Singh (perejam) dan Khunaijam Holendro Singh (pengumpan) tidak perlu mengerah kudrat untuk aksi ketiga.

Ia apabila peraturan menetapkan saingan kalah mati berakhir apabila salah satu pasukan yang terlebih dahulu mengutip dua mata dikira sebagai pemenang.

Sebagai rekod, kali terakhir kem sepak takraw negara menjuarai acara regu berpasukan ialah pada Sukan SEA Manila bagi edisi 1991.