PASIR PUTEH - Tindakan sebuah vesel milik nelayan Vietnam 'merompak' 300 kilogram hasil laut negara membawa padah selepas dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan pada Jumaat.
Kapal yang dikemudi seorang tekong bersama empat kru itu ditahan pada jam 4.23 petang pada jarak 105 batu nautika dari muara Tok Bali.
Iklan
Iklan
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, semasa menjalankan rondaan di sempadan perairan Malaysia-Vietnam menerusi Op Damai, Op Iman, Op Naga Barat dan Op Tiris pihaknya telah mengesan sebuah vesel dalam keadaan mencurigakan pada jam 4.16 petang.
"Menyedari kehadiran Kapal Maritim, vesel telah cuba melarikan diri. Hasil kecekapan anggota bertugas, vesel berkenaan berjaya ditahan tujuh minit kemudian," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, kesemua nelayan Vietnam yang ditahan itu masing-masing berusia antara 28 hingga 47 tahun.
Ujarnya, pemeriksaan lanjut di atas kapal berkenaan telah menjumpai 300 kg hasil laut, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 300 liter dengan anggaran nilai RM100,000.
Erwan Shah memberitahu, proses membawa balik vesel tersebut mengambil masa selama 15 jam dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a), Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.