SEREMBAN - Kerinduan mendalam terhadap arwah bapa mendorong seorang anak untuk menjejaki semula adik-beradik arwah yang telah terputus hubungan lebih 20 tahun lalu.
Muhammad Fahmi Mohd Effendi, 29, berkata bapanya, Mohd Effendi Salleh atau Valayuthan, mempunyai 10 orang adik-beradik dan kali terakhir dia menziarahi mereka adalah ketika perayaan Deepavali di Gemas, ketika usianya sembilan tahun.
Menurutnya, bapanya yang berbangsa India berasal dari Gemas telah mengikut jejak langkah datuknya memeluk Islam ketika berusia 30 tahun, kemudian berpindah ke Melaka sebelum menetap di Sepang selepas berkeluarga.
"Dulu tiada telefon canggih seperti sekarang dan tiada media sosial, jadi hubungan kekeluargaan agak terbatas kerana kami hanya berjumpa sesekali.
"Ayah pula ada kala pulang ke kampung sendiri tanpa membawa kami sekeluarga, jadi kenangan saya bersama saudara-mara sebelah ayah agak terhad,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, penceraian ibu bapanya ketika beliau berusia 12 tahun juga menjadi antara punca hubungan kekeluargaan itu semakin renggang.
"Lepas mak dan ayah berpisah, saya tinggal bersama mak di Bukit Beruntung, manakala ayah masih menetap di Sepang.
"Saya hanya tinggal semula bersama ayah ketika berusia 18 tahun. Ketika itu ayah sakit, dan disebabkan saya sudah bekerja, saya ambil tanggungjawab untuk menjaganya,” katanya.
Tambahnya, bapanya meninggal dunia pada 2016 ketika berusia 61 tahun, namun tiada seorang pun daripada adik-beradik arwah hadir kerana tidak mengetahui berita pemergiannya.
"Berkemungkinan mereka tidak tahu yang ayah saya telah meninggal dunia. Saya berharap dapat bertemu mereka untuk menyambung kembali hubungan kekeluargaan yang telah terputus.
"Saya rindu arwah bapa. Saya berharap ada dalam kalangan adik-beradiknya yang mempunyai iras wajah seperti bapa. Sekurang-kurangnya, ia dapat mengubat kerinduan saya,” katanya.
Beliau memaklumkan, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubunginya di talian 018-970 4017.