Nahas FRU: Koperal Syed Isfan semakin pulih selepas jalani 3 pembedahan

Iklan
Feisul Idzwan

TELUK INTAN - Seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang dilaporkan kritikal akibat nahas kenderaan pasukan itu, Selasa lalu kini menunjukkan perkembangan positif.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, Koperal Syed Isfan Syed Mohamad, 32, mengalami kecederaan kompleks telah menjalani tiga pembedahan kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

Iklan
Iklan

"Pesakit mengalami kecederaan pelbagai termasuk pada paru-paru, organ hati, limpa buah pinggang dan pundi kencing selain kecederaan pada tulang rusuk, kaki dan pinggul.

"Semasa dimasukkan ke HRPB pun, dia sudah menjalani tiga pembedahan di peringkat awal. Kemungkinan besar pesakit ini perlu melalui pelbagai prosedur lain.

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung kecederaan dialami Koperal Syed Isfan

"Saya melawat mangsa di ICU semalam dan doktor pakar menyatakan perkembangannya semakin baik," katanya dalam sidang akhbar di Hospital Teluk Intan di sini pada Sabtu.

Jelas Feisul Idzwan, walaupun keadaan serius, pesakit terbabit sudah mula sedar.

Iklan

Tambah beliau, empat lagi anggota FRU yang yang kini dirawat di ICU Hospital Teluk Intan turut menunjukkan perkembangan baik dan hanya seorang daripada anggota itu yang memerlukan pemantauan rapi.

"Lima anggota dirawat di Hospital Teluk Intan yang mana empat daripada mereka berada di ICU manakala seorang lagi berada di wad biasa.

"Anggota di wad biasa ini juga menunjukkan perkembangan baik dan mungkin dia akan discaj dalam masa terdekat," katanya.

Untuk rekod, Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin, 39, yang juga pemandu trak FRU telah dibenarkan keluar hospital semalam selepas Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26, Rabu lalu dan Koperal Nizam Tarmizi, 38 pada petang hari kejadian.

Empat anggota FRU yang ditempatkan di ICU Hospital Teluk Intan ialah Koperal Haslizal Mohd Ali, 44; Sarjan Mazlan Mat, 50; Koperal Mohd Izwan Ishak, 39; dan Sarjan Mohd Parih Ali, 44.

Dalam kejadian Selasa lalu, sembilan anggota FRU meninggal dunia, manakala sembilan lagi cedera dengan sebahagiannya parah apabila trak dinaiki bertembung dengan sebuah lori muatan batu kerikil di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik, Teluk Intan.

Semasa kejadian, kenderaan terlibat dalam perjalanan pulang ke Markas FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh bersama enam kenderaan yang lain selepas selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak.