Pep Guardiola mempersoalkan keputusan operator Liga Perdana mengekalkan jadual perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) antara Manchester City dan Bournemouth pada Rabu depan yang menurutnya sepatutnya ditunda ke hujung minggu.
City dijadualkan berdepan Crystal Palace dalam final Piala FA pada Sabtu dan menerima kunjungan The Cherries hanya tiga hari kemudian dalam usaha untuk menamatkan saingan EPL dalam kelompok lima teratas selepas jatuh ke tangga keenam berikutan kemenangan Chelsea dan Aston Villa pada Sabtu.
Penjadualan perlawanan City menentang Bournemouth pada Khamis depan juga akan bertembung dengan final Liga Europa sesama kelab Inggeris antara Tottenham dan Manchester United di Stadium San Mames, Bilbao.
Bagaimanapun, pengendali City itu menarik perhatian terhadap perlawanan EPL membabitkan Tottenham dan Aston Villa yang diawalkan dua hari daripada tarikh asal bagi memberikan Tottenham lebih masa bersedia menghadapi final Eropah.
Bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu menyifatkan perkara tersebut sebagai petunjuk bahawa liga sebenarnya mempunyai kemampuan untuk bersikap fleksibel.
Ditanya sama ada beliau lebih memilih agar perlawanan menentang Bournemouth ditunda ke tarikh yang lebih fleksibel, Guardiola menjawab, semestinya.
"Tottenham Hotspur bermain menentang Aston Villa pada Sabtu kerana final Liga Europa, ya? Keputusan yang baik.”
"Sejujurnya, saya tidak ironi atau bersikap sinis, Liga Perdana membuat keputusan yang baik, sangat baik.”
Tersingkir awal daripada Liga Juara-Juara dan Piala Liga bermakna City akan bermain sebanyak 57 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini.
Musim lalu, anak buah Guardiola bermain 59 perlawanan, manakala dalam kempen treble 2022–23 mereka beraksi 61 kali.
Dengan 60 perlawanan, Tottenham dan United akan bermain lebih banyak perlawanan berbanding mana-mana kelab EPL musim ini berikutan kemaraan mereka dalam Liga Europa.
City kini bersiap sedia ke final Piala FA ketiga berturut-turut dan mereka juga berkunjung ke Wembley untuk tujuh separuh akhir berturut-turut dalam pertandingan itu yang disifatkan Guardiola sebagai satu pencapaian besar.
Musim ini merupakan kali pertama dalam rangkaian itu City bermain separuh akhir Piala FA mereka pada hari Ahad.
Dalam enam kempen sebelumnya, City sentiasa mempunyai perlawanan Liga Juara-Juara atau EPL pada hari Rabu.