Kapal kontena Liberia berlabuh tanpa kebenaran ditahan

Iklan
Sebuah kapal kontena yang berdaftar di Liberia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Selangor selepas dikesan berlabuh tanpa kebenaran di perairan negara pada Jumaat.

PELABUHAN KLANG - Sebuah kapal kontena berdaftar di Liberia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor selepas dikesan berlabuh tanpa kebenaran di perairan negara pada Jumaat.

Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kapal berkenaan ditahan kira-kira jam 1.20 petang pada kedudukan 22.5 batu nautika barat daya Sekinchan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan itu susulan maklumat yang diterima daripada Pusat Kawalan Kawasan (ACC) SWASLA Klang sekitar jam 9.20 pagi yang mengesan kedudukan kapal dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil semakan dengan Jabatan Laut Wilayah Tengah mendapati kapal kontena berkenaan tidak memohon sebarang kebenaran untuk bersauh di lokasi tersebut.

Iklan

"Bot ronda Maritim diatur gerak ke lokasi dan pemeriksaan mendapati kapal dikendalikan seorang kepten warga Rusia berusia 44 tahun bersama 23 kru pelbagai warganegara berumur antara 32 hingga 50 tahun," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, semakan mendapati semua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang lengkap, namun kepten gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Iklan

"Kapal terbabit didapati melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) kerana berlabuh tanpa kebenaran.

"Perintah penahanan telah dikeluarkan ke atas kapal berkenaan dan kepten bersama seorang pegawai (pegawai kedua enjin) dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut," katanya.

Abdul Muhaimin berkata, jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Maritim Malaysia akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di perairan negara khususnya Selangor.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kejadian kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 dan Pusat Operasi Maritim Malaysia di 03-89957820," katanya.