KUALA LUMPUR - Aksi samseng jalanan di Jalan Ampang, di sini, yang cuba melarikan diri daripada pihak polis dengan berpatah balik akhirnya memerangkap diri sendiri apabila laluan itu dikepung dalam operasi pada Sabtu.
Lebih mengejutkan, tindakan berbahaya itu turut dilakukan oleh seorang penunggang wanita berusia 16 tahun yang membonceng rakannya hanya kerana tidak memiliki lesen memandu.
Ketika ditanya mengenai tindakannya, gadis yang masih bersekolah di Tingkatan Empat itu mengakui sedar akan risiko yang dihadapi, namun nekad untuk meloloskan diri kerana tidak mahu ditangkap polis.
"Saya tahu salah, cuma tak nak kena tahan saja," katanya dengan nada perlahan.
Pemeriksaan lanjut oleh anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur mendapati wanita itu juga melakukan kesalahan lain seperti cukai jalan tamat tempoh dan tidak membawa kad pengenalan.
Sinar Harian yang menyertai operasi tersebut mendapati kumpulan mat rempit membuat bising dengan bunyi ekzos yang diubah suai selain memberikan pelbagai alasan ketika ditahan polis.
Difahamkan, ratusan motosikal telah ditahan untuk pemeriksaan awal.
Pengarah JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, Op Samseng Jalanan yang bermula pada jam 2.45 pagi itu melibatkan pemeriksaan terhadap 1,300 motosikal.
"Sebanyak 40 motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan terutama pengubahsuaian ekzos selain 560 saman dikeluarkan.
"Jalan Ampang, Lebuhraya Duta Ulu Kelang Expressway (DUKE), Jalan Raja Laut serta Jalan Tun Razak merupakan lokasi 'hotspot' samseng jalanan di Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita selepas operasi di sini pada Sabtu.
Operasi itu turut melibatkan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur.
Mohd Zamzuri berkata, pihaknya percaya kumpulan-kumpulan motosikal ini akan melalui sekitar Bukit Bintang dan Jalan Raja Laut dengan bunyi bising ekzos.
Tambahnya, polis percaya tindakan segelintir penunggang yang berpatah balik adalah semata-mata untuk mengelak daripada diperiksa.
Dalam pada itu, JSPT Kuala Lumpur turut melaksanakan Op Motosikal di lapan lokasi sekitar ibu negara selama dua jam bermula jam 10.30 malam, Jumaat.
"Kita telah menyita 15 motosikal dan sebuah kereta selain sebanyak 446 saman dikeluarkan antaranya tiada lesen memandu serta tiada cukai jalan.
Tegasnya, orang ramai termasuk ibu bapa diingatkan untuk memantau pergerakan anak-anak agar mengambil iktibar dan memastikan keadaan motosikal diselenggara dengan baik.
"Operasi ini bukan semata-mata untuk Sidang Kemuncak ASEAN pada hujung bulan ini sebaliknya, hampir setiap malam kita (JSPT Kuala Lumpur) melaksanakan tindakan serta operasi hingga membawa sitaan ke atas motosikal terbabit," ujarnya.