Golongan ibu bantu bentuk generasi anti rasuah

Iklan
Golongan ibu berperanan besar dalam usaha membanteras rasuah sejak dari rumah melalui pendidikan nilai dan sikap integriti kepada anak-anak. Gambar hiasan (Gambar kecil: Amirah)

SHAH ALAM – Golongan ibu berperanan besar dalam usaha membanteras rasuah sejak dari rumah melalui pendidikan nilai dan sikap integriti kepada anak-anak.

Timbalan Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Dr Amirah Ismail berkata, ibu bukan sahaja pendidik utama di rumah, malah menjadi agen perubahan dalam membentuk generasi anti-rasuah.

Iklan
Iklan

Justeru, beliau berpandangan, golongan terbabit boleh membantu membentuk generasi anti-rasuah dengan memberikan pendidikan awal tentang etika dan nilai-nilai moral kepada anak-anak.

"Ibu juga boleh memainkan peranan menggalakkan perbincangan tentang kejujuran dan keadilan dalam kehidupan seharian.

Iklan

"Selain itu, mereka boleh menjadi contoh baik dalam mengamalkan integriti dalam kehidupan dan pekerjaan serta memupuk kesedaran tentang kesan buruk rasuah terhadap masyarakat dan negara," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, rasuah mempunyai kesan besar terhadap pembangunan institusi keluarga dan pendidikan,sekali gus boleh merosakkan sistem sosial dan menghakis kepercayaan masyarakat.

Iklan

"Apabila rasuah menular, keutamaan sering diberikan kepada kepentingan peribadi dan bukan kepada kesejahteraan masyarakat menyebabkan ketidakseimbangan dalam pembangunan sosial," ujar beliau

Bagaimanapun, Amirah melihat sikap integriti, kejujuran dan ketelusan diterapkan golongan ibu dalam keluarga akan menjadi asas kepada masyarakat bebas rasuah.

"Ibu yang tegas dalam mengamalkan nilai murni dapat membantu membentuk generasi lebih bertanggungjawab dan etika dalam kehidupan mereka," menurutnya.

Dalam pada itu, tambah beliau, beberapa pendekatan boleh digunakan untuk memperkasa pendidikan anti-rasuah termasuklah memberikan latihan dan program pembangunan nilai kepada ibu bapa dan pendidik dalam kalangan masyarakat.

"Antara kaedah lain, WAFIQ menyarankan tindakan seperti pendidikan antirasuah dimasukkan dalam kurikulum sekolah dan institusi pendidikan, serta menganjurkan kempen kesedaran yang berfokus kepada generasi muda," menurutnya.

Amirah mengingatkan, usaha membentuk generasi bebas rasuah perlu dimulakan sejak usia muda melalui pendidikan dan kerjasama semua pihak.

"Pendidikan dan kesedaran sejak usia muda adalah kunci utama dalam memerangi rasuah. Jika ibu bapa, pendidik dan masyarakat bersatu dalam usaha itu, kita boleh melahirkan generasi yang lebih bertanggungjawab dan beretika," menurutnya lagi.