Guna kurier hantar dadah kepada pelanggan

Iklan
Hamzah (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas daripada suspek.

GEORGE TOWN - Kegiatan seorang lelaki menggunakan beberapa syarikat penghantaran barang untuk menghantar bekalan dadah yang diproses kepada pelanggannya terbongkar selepas dia ditangkap bersama beberapa jenis dadah termasuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai RM2.1 juta.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, lelaki tempatan berusia 41 tahun itu ditahan pada jam 9 pagi, Khamis di lot parkir pangsapuri di Butterworth oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pulau Pinang.

Menurutnya, selepas ditahan suspek dibawa ke sebuah pangsapuri di kawasan sama dan merampas pelbagai jenis dadah di kediaman berkenaan.

Iklan

"Di rumah berkenaan, polis merampas satu kotak yang mengandungi tiga bungkusan plastik lutsinar berisi serbuk MDMA anggaran berat 3,920 gram, sebuah kotak kertas mengandungi 200 peket plastik warna hitam berisi serbuk MDMA anggaran berat 460 gram.

"Selain itu, kita menemui sebungkus plastik mengandungi 37 peket plastik serbuk MDMA anggaran berat 2,590 gram, sebuah kotak mengandungi 160 peket berisi serbuk MDMA anggaran berat 3,990 gram," katanya ketika sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada Jumaat.

Iklan
Pelbagai jenis dadah termasuk serbuk MDMA bernilai RM2.1 juta dirampas yang dirampas.

Tambah beliau, polis turut merampas sebuah kotak mengandungi 15 peket plastik berisi serbuk dadah jenis ketamin anggaran berat 384 gram serta peralatan dan pekakasan memproses dadah.

"Turut dirampas 50 keping aluminium foil berisi 10 biji setiap satu mengandungi dadah jenis pil Erimin 5, tiga peket plastik mengandungi 50 biji pil berwarna pink,hijau dan kuning disyaki pil ekstasi serta satu bekas plastik tanpa penutup disyaki serbuk dadah jenis MDMA anggaran berat 1,400 gram.

"Hasil risikan mendapati, suspek bergiat aktif sejak hujung tahun 2024. Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 400,000 orang penagih," ujarnya.

Hamzah menambah, rumah tersebut disewa oleh suspek untuk menjalankan kegiatan haramnya itu.

"Suspek bergerak sendirian namun siasatan masih dijalankan untuk mengesan mereka yang ada kaitan dengan suspek.

"Suspek akan membungkus dadah dengan kemas dan mengisytiharkannya sebagai barang berharga.

"Suspek akan pos kesemua dadah yang dipesan oleh pelanggannya dari seluruh negara. Dengan hasil menjual dadah yang dibungkus sendiri, suspek mampu untuk hidup mewah walaupun dia tidak bekerja," katanya.

Menurut beliau lagi, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin.

Polis turut menyita sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz yang digunakan suspek.

"Semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah. Suspek direman tujuh hari bermula Jumaat sehingga 22 Mei ini untuk siasatan.

"Selain dadah, kita juga menyita kenderaan, barangan kemas dan wang tunai dengan jumlah sitaan RM170,882.00.

"Harta yang disita adalah sebuah kereta jenis Mercedes Benz bernilai RM130,000, tiga utas rantai bernilai RM28,582, empat bentuk cincin bernilai RM11,250 dan wang tunai RM1,050. Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM2,329,302," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.