Bas ganti trak antara cadangan diteliti tingkat keselamatan penugasan - KPN

Iklan
Razarudin bersama isteri merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Puan Sri Zainah Othman (kiri) melawat anggota cedera, Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin yang kini ditempatkan di wad biasa Hospital Teluk Intan.

TELUK INTAN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih selamat untuk anggota ketika bertugas dalam masa terdekat ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, satu jawatankuasa khas telah dibentuk di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) bagi meneliti perkara itu.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, penelitian tersebut bukan hanya melibatkan penugasan dalam Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), tetapi merangkumi Pasukan Gerakan Am (PGA), penggunaan kenderaan pengiring dan pengangkutan bagi orang kena tahan (OKT) serta pengangkutan pelajar anak anggota polis.

"Saya sudah bercakap dengan Pengarah KDNKA sendiri untuk melihat semula bentuk penugasan konvoi dan bagi tugas.

Iklan

"Jadi dalam masa terdekat ini, mungkin kita akan datangkan satu SOP ataupun cadangan macam mana yang terbaik untuk anggota-anggota kita yang bertugas.

"...Memang kita akan memikirkan dan satu jawatankuasa tertinggi daripada KDNKA dan juga saya akan membincangkan perkara ini, Insya-ALLAH," katanya kepada pemberita selepas melawat enam anggota FRU yang masih menerima rawatan di Hospital Teluk Intan di sini pada Jumaat.

Iklan

Menurut Razarudin, antara cadangan awal yang sedang diteliti termasuk penyediaan bas untuk menggantikan trak pengangkut dalam penugasan berskala besar.

Selain itu katanya, keperluan mempertingkatkan aspek keselamatan kenderaan kerajaan yang digunakan dengan memperluaskan perlindungan insurans terhadap kenderaan kerajaan yang digunakan.

"Kita insuranskan trak polis yang bawa anak-anak, walaupun kebanyakan kenderaan kerajaan tidak ada perlindungan sedemikian.

"Jadi perkara ini juga kita ambil kira dalam penilaian semula,” katanya.

Dalam kejadian Selasa lalu, sembilan anggota FRU meninggal dunia, manakala sembilan lagi cedera dengan sebahagiannya parah apabila trak dinaiki bertembung dengan sebuah lori muatan batu kerikil di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik, Teluk Intan.

Semasa kejadian, kenderaan terlibat dalam perjalanan pulang ke Markas FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh bersama enam kenderaan FRU yang lain selepas selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di Teluk Intan.

Daripada sembilan mangsa yang cedera, dua daripada mereka iaitu Koperal Nizam Tarmizi, 38, dan Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26, telah dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan.

Anggota cedera, Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zullkifli yang kini dirawat di wad biasa Hospital Teluk Intan menerima kunjungan Razarudin pada Jumaat.

Dua anggota iaitu Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin, 39, dan Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zullkifli, 34, kini dirawat di wad biasa Hospital Teluk Intan.

Sementara empat anggota masih dalam pemantauan rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan ialah Koperal Haslizal Mohd Ali, 44; Sarjan Mazlan Mat, 50; Koperal Mohd Izwan Ishak, 39; dan Sarjan Mohd Parih Ali, 44.

Seorang lagi anggota, Koperal Syed Isfan Syed Syed Mohammad, 39, pula dirawat di ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Razarudin turut menzahirkan penghargaan kepada Hospital Teluk Intan yang telah memberikan rawatan segera dan komprehensif kepada semua mangsa.

"Pagi tadi pun ada anggota kita yang baru keluar dari bilik pembedahan.

"Ada yang mengalami kecederaan serius di rusuk, perut, hati dan pelvis.

"Kita ucap terima kasih kepada pasukan perubatan yang bertungkus lumus sejak hari pertama,” katanya.

Dalam aspek kebajikan pula, beliau memberi jaminan bahawa PDRM akan memastikan segala bentuk sokongan yang diperlukan oleh mangsa dan keluarga akan diberikan sewajarnya.

Katanya, perkara itu termasuklah menguruskan aspek insurans dan pampasan kematian kepada keluarga anggota yang terkorban bagi meringankan beban mereka.

"Apa sahaja keperluan yang mampu kita sediakan, akan kita usahakan. A-Z kerana ini soal keluarga besar kita," katanya.